Jika telefon anda berbunyi di studio, inilah cara 'terbaik' mengatasinya.

Saya jarang mengongsi video youtube di dalam blog saya tetapi video ini mencuit hati. Kerana selama saya mengacarakan rancangan Selamat Pagi Singapura, belum pernah saya bertemu seorang yang sangat beralas bila telefonnya berbunyi...

Oleh kerana topik perbualan sangat serius (mengenai banjir), pengacara nampaknya tidak terjejas :)

Peluklah ahli syurga

Semalam, semasa sesi bermaaf-maafan, anak saya yang berumur 5 tahun ini menangis melihat kakak-kakaknya meminta maaf. Tahun lalu, beliau tidak menangis mungkin kerana belum memahami. Kemudian, bila gilirannya tiba, tangisannya lebih ketara semasa meminta maaf kepada saya. Saya memberitahunya anak-anak yang seumur sepertinya tiada dosa dan mereka adalah ahli syurga.

Jadi jika kita ingin merasakan syurga di dunia, peluklah anak-anak kita.

Di sebalik Nenek kan ada...

Saya berharap anda sudah pun menonton video yang berjudul "Nenek kan ada". Video ini adalah penerbitan kami di ScreenBox. Video ini telah dimuatnaikkan di FB page Ramadan.sg  pada 1 July 2014 bermula dengan hanya 312 tontonan (views). Hari ini, ia sudah menjangkau lebih 8000 views. Terimakasih kepada semua yang menonton dan mengongsi video ini. Saya turut gembira kerana video ini mendapat tempat di hati masyarakat. Ianya juga ada tujuan murni. 

(Video ini dimuatnaikkan asalnya di Ramadan.sg)

Bila syarikat kami diundang untuk memberi idea bagaimana kita boleh mempertingkatkan kesedaran tentang ilmu agama dan nilai keluarga, kami mula fikirkan apakah bentuk jalan cerita yang boleh menepati pesanan ini. Setelah kami bincang bersama unit kreatif Malay Media Experts (sebuah unit kreatif pengiklanan ScreenBox), maka tercetuslah idea cerita Nenek Kan Ada yang berbentuk 'short film' ini. 

Ada banyak perkara disebalik penerbitan video Nenek Kan Ada... saya susunkan senarainya di bawah:

First Scene to be recorded.

First Scene to be recorded.

1. Pada hari penggambaran, kami bermula pada 6.00 pagi dan scene yang terakhir dirakam sekitar 2.00 pagi keesokan harinya. Ini bermakna kami bekerja 20 jam untuk rakaman video ini. Scene yang pertama dirakamkan adalah babak bertemu buku nenek diruang tamu. 

A pose just before last scene.

A pose just before last scene.

Scene yang terakhir dirakamkan pada hari itu adalah babak di mana nenek 'meninggal dunia'.  Kesemua pelakon dan kru memang penat namun semuanya berkobar ingin teruskan penggambaran - hanya kerana tujuan asli video ini yang mengajak penonton menghargai ilmu & nilai agama Islam. 

Photo by our talent @tanterr_mass

Photo by our talent @tanterr_mass

2. Oleh kerana Kak J. Rosmini, 73 tahun, mempunyai scene yang agak banyak, beliau tidur antara pukul 12 malam hingga 1 pagi dilokasi agar dapat menjadi lebih segar untuk babak terakhirnya pada hari rakaman. Sebaliknya, kanak-kanak yang perlu juga bersengkang mata pada malam tu langsung tidak kelihatan penat dan masih terjaga untuk melaksanakan rakaman mereka.

3. Dua hari sebelum rakaman, kami diberitahu pelakon utama video ini, tidak dapat menyertai kerana tidak diizinkan pihak sekolah untuk bercuti. Kami terpaksa menjalankan temuduga kilat dan, Alhamdulillah, mendapat pelakon yang boleh menggantikan watak utama sehari sebelum rakaman.

4.  Tenaga kerja ScreenBox memilih semua lokasi berdekatan Masjid agar senang pelakon dan kru menunaikan solat 5 waktu. 

5. Untuk mendapatkan rumah yang sesuai, kami menyewa sebuah rumah di clementi. Itulah rumah di mana babak menjahit dirakamkan. Tuan rumah (juga seorang nenek) bersengkang mata dan tidak mahu tidur walaupun kami sudah habis rakaman. Beliau ingin pastikan kerja kami semua selesai dengan baik. Tabik Nenek!

Kami menyewa rumah nenek (kiri) yang sudi bersama kami sepanjang malam!

Kami menyewa rumah nenek (kiri) yang sudi bersama kami sepanjang malam!

6. Jiran tetangga (warga Cina) di clementi sudi memberi kami kerusi-kerusi mereka agar kami dapat bersembang di depan koridor rumah mereka... cukup baik jiran ini.

7. Babak yang paling lama kami rakamkan adalah babak di luar masjid Assyakirin. Bukan kerana pelakon tidak dapat melakukan apa yang dikehendaki, tetapi faktor seperti bunyi-bunyian dari kenderaan berdekatan menggangu rakaman. Oleh kerana hari itu matahari terang bersinar, kami perlu hentikan rakaman beberapa kali untuk 'touch-up' dandanan pelakon yang berpeluh-peluh... Ini semua biasa dilalui semua jenis penerbitan video.  Alhamdulillah cuaca tidak hujan pada petang itu.

Di luar Masjid Assyakirin

Di luar Masjid Assyakirin

8. Cuaca menyebelahi kami kerana hanya setelah kami melengkapi rakaman, angin dan hujan ribut mula turun.

9. Saya terperangkap di tempat meletak kereta di celmenti kerana cashcard saya tidak mencukupi nilainya (sibuk sangat sehingga tidak menyedari). Jadi bayangkan saya terpaksa mencari tempat top-up pada pukul 2.30 pagi. Nasib ada beberapa orang yang masih belum tidur di kedai kopi berdekatan, mereka menunjukkan saya tempat menambah nilai cash card saya.

10. Perjalan pulang agak menyeramkan kerana, hujan sangat lebat. Penerbit saya juga ada memberitahu dalam perjalanan mereka pulang, pokok tumbang di hadapan mereka. Mujur semuanya selamat.

Itulah beberapa perkara yang tidak diketahui ramai mengenai penerbitan Nenek Kan Ada. Saya ingin merakamkan terimakasih, pertama sekali kepada pihak Muis yang sudi menerima idea kami. Juga kepada semua tenaga kerja video ini dan para pelakon. Dan jutaan terimakasih kepada anda yang menonton dan mengongsi video ini. Semoga Allah memberkati anda selalu.

Di bawah saya sertakan galeri di sebalik tabir... :)



Membantu kru dari Italy

Minggu lalu syarikat ScreenBox diberi kepercayaan membantu penerbitan TV berjudul Pekin Express. Hampir 100 orang kru penerbitan dari Italy, sedozen konvoi kenderaan dan perkakas yang di bawa masuk ke sini untuk membuat penggambaran sehari di Singapura. 

Untuk memberi gambaran rancangan Pekin Express ini, saya ada paparkan rancangan Pekin Express serupa versi Perancis:

Tetapi persiapan untuk membantu mereka di Singapura sudah mula berbulan-bulan yang lalu. Dan pasukan recce mereka sudah dibantu mencari lokasi dalam beberapa lawatan sebelum ini. Saya dapati penerbitan ini cukup besar dan banyak perkara yang sudah kita pelajari dari mereka. 

Rancangan ini akan ke udara di Eropah pada September 2014 nanti. InsyaAllah kalau diber kebenaran, saya akan memuatnaikkan gambar-gambar disebalik tabir. 

Menulis skrip secara profesional - Masterclass

Jika anda suka menulis dan ingin belajar menulis skrip untuk rancangan TV seperti 647km persegi, Hanyut, Makan Boomz! dan dokumentari antarabangsa seperti Peddlers of Asia dan The Centennial Asia, saya mengundang anda ke bengkel Masterclass (Scriptwriting) ini.

Menulis untuk rancangan TV boleh membawa kesan yang luas dan mendalam. Saya harap dapat bertemu anda.

Program untuk anda dan anak anda Jun ini!

Jika anda belum membuat rancangan Jun ini, apakata bersama kami untuk meningkatkan kemahiran diri.

Anda boleh memilih untuk menghantar anak-anak anda ke bengkel Scripting / Storyboard di mana mereka boleh mempelajari teknik berkesan mengolah cerita. Ini boleh membantu mereka menjadi lebih kreatif dalam membina ayat dan jalan cerita dalam karangan mereka di sekolah.

Atau anda cuba bengkel terkini - Mobile Journalism. Anak anda boleh menimba ilmu kewartawan yang mengajar mereka meningkatkan sifat bertanya, menjadi lebih yakin bila berdepan dengan orang lain dan menggalakkan mereka menjadi lebih teratur bila membuat laporan. Yang lebih penting lagi, bengkel ini meransang mereka menjadi pengguna mobile yang lebih bertanggungjawab.

Bagi anda yang mempunyai minat & bakat dalam menulis dan ingin mendalami skrip TV, kami juga akan melaksanakan bengkel penulisan untuk anda. Kami akan mengongsi teknik-teknik dan proses penulisan skrip rancangan TV seperti rancangan Bongkar, 647km persegi, Hanyut, Makan Boomz dan Ubah Segalanya. Anda berpeluang untuk mempelajari unsur-unsur penulisan skrip yang berkesan daripada penerbit ScreenBox yang berpengalaman. Bengkel ini dikhaskan untuk semua belia, pendidik dan juga profesional.

Untuk keterangan lanjut, sila lungsuri lelaman ini.

Video bengkel penulisan skrip TV & Storyboard

Video bengkel penulisan skrip TV & Storyboard

Inilah video disebalik tabir bengkel penulisan skrip TV & storyboard bersama pegawai-pegawai TV yang telah kami laksanakan tidak lama dulu. Jika anda berminat untuk mengenali dan menghalusi teknik-teknik penerbitan video yang berkesan, sila lungsuri lelaman Reel Friends of ScreenBox.