Tahun ini syarikat kami ScreenBox sudah berusia 15 tahun. Cepat benar masa berlalu ya? Syukur Alhamdulillah saya panjatkan kepada Allah yang telah memberi kami 15 tahun ini dan saya mohon kepadaNya lebih banyak tahun-tahun produktif dan usia syarikat yang diredhaiNya.
Saya masih ingat lagi sewaktu saya bangun suatu malam (pukul 2 pagi) dan mengejutkan isteri saya lalu mengatakan, "Esok saya nak berhenti kerja. I want to go full-time in business." Beliau menjawab dengan tenang, "Ok bang, tetapi biarlah saya yang berhenti dahulu." Isteri saya amat yakin dengan apa yang ingin saya capai sehinggakan beliau sanggup berhenti kerjayanya dahulu. Ini memberi saya masa untuk menguatkan jaringan kenalan (network) dalam perniagaan. Bila saya berhenti kerja beberapa bulan selepas itu, Ahamdulillah, kami sudahpun ada barisan pelanggan yang ingin bersama kami.
Antara pelanggan yang sudi bersama kami pada tahun pertama ScreenBox adalah Nooris Consultants (kini PropNex), McDonalds, Keppel Insurance (kini HSBC), Ikea dan beberapa agensi pengiklanan seperti Batey Ads, Saatchi & Saatchi, Leo Burnett dan banyak lagi. Kami sungguh terharu atas sokongan awal mereka.
Tetapi pada tahun pertama ScreenBox, kami masih belum lagi dapat menerbitkan sebarang rancangan televisyen. Tiadapun satu saranan kami diterima pihak stesen TV tempatan. Walaupun kami sudah menerbitkan rancangan TV sebelum menubuhkan ScreenBox, pada tahun pertama syarikat kami, peluang belum timbul untuk menerbitkan rancangan TV. Mungkin juga kerana kita belum ada portfolio sendiri.
Namun, ada satu pelanggan yang telah membantu kami mencapai cita-cita kami menjadi syarikat penerbitan TV. Dan kami sangat menghargai sokongan dan risiko yang mereka ambil bersama kami pada waktu itu. Sukar bagi kami melupakan bantuan dan sokongan mereka yang telah menukar haluan ScreenBox sehingga hari ini.
Pelanggan yang saya maksudkan itu adalah Majlis Ugama Islam Singapura (Muis). Pada waktu itu (tahun 2000), pihak Muis sedang mencari idea untuk mempertingkatkan pungutan zakat.
Bila kami diundang untuk menampilkan idea, saya mengambil beberapa minggu untuk memikirkan apa yang boleh kami lakukan untuk menghangatkan pungutan zakat di Singapura. Pada suatu malam, pada waktu Qiyam, saya mendapat ilham menggunakan tema KAU ISTIMEWA untuk kempen ini. Tema ini sangat berkesan kerana ianya boleh diolah untuk kegunaan di media TV, radio dan elektronik. Antara saranan kami adalah menerbitkan doku-drama TV berjudul KAU ISTIMEWA.
Menggunakan sebuah rancangan TV sebagai unsur utama kempen pengiklanan belum pernah dilakukan untuk media Melayu pada waktu itu dan kami berpeluang mencubanya buat pertama kali di sini. Ini sekaligus memberi kami peluang untuk membuktikan kemahiran dalam menerbitkan rancangan televisyen. Kami juga memperkenalkan tema ini untuk kegunaan dalam komunikasi kempen di akhbar, radio dan wadah BTL (below-the-line). Tetapi rancangan TV Kau Istimewa menjadi sumber media utama untuk mendekatkan penonton kepada mesej kempen zakat ini.
Bila rancangan TV Kau Istimewa ke udara, ia bagaikan meletup di kaca TV! Ramai yang sangat terkesan dengan inti rancangan ini dan cara ia diterbitkan. Ahamdulillah Kau Istimewa menjadi buah mulut masyarakat Islam di Singapura. Malah, rancangan ini juga dapat menggandakan pungutan zakat dengan banyaknya. Saya benar-benar bersyukur kerana rancangan Kau Istimewa kemudian memenangi Anugerah Kecemerlangan Kreatif di Amerika Syarikat dan ia, sekaligus, telah menguatkan asas ScreenBox sebagai syarikat penerbitan televisyen. Setelah kejayaan Kau Istimewa, kami mendapat peluang menerbitkan berbagai rancangan TV untuk masyarakat Melayu/Islam di Singapura. Pihak TV stesen mula mengambil saranan kami untuk rancangan TV yang lain. Sebab itulah saya tidak dapat melupakan sokongan Muis dalam perjalanan 15 tahun ScreenBox ini.
Saya kaitkan semua ini kepada Barakah yang telah dikurniakan Allah ke atas kerja-kerja membantu ugama kita. Kita bantu dalam usaha meningkatkan Zakat, lalu Allah bantu kita. Barakah.
Sejak tahun 2000 itu, kami mula menerbitkan rancangan-rancangan TV yang sering mendahulukan isu masyarakat Melayu/Islam seperti Hanyut, SEKSa, Tabah, Testimoni dan banyak lagi. Anda di antaranya, seperti 647km persegi, mendapat tempat di hati penonton atas unsur informasi yang menghiburkan. Hingga ke hari ini kami yakin tumpuan menerbitkan rancangan-rancangan TV bermakna bagi masyarakat itu amat penting. Kami sangat berterima kasih kepada pegawai-pegawai di stesen TV yang berani mengambil risiko bersama kami dalam mengetengahkan idea dan cara baru dalam penerbitan rancangan informasi dan dokumentari. Hari ini rancangan-rancangan kami seperti Penjaja-penjaja Jalanan, Fajar Ramadan, Ibu, Cuti Cemil-Cemilan, Karung Guni Muda dan Makan Boomz! merupakan pendekatan-pendekatan unik bagi penonton TV.
Dalam blog ulangtahun ScreenBox yang seterusnya, saya akan terangkan bagaimana kami dapat menembusi saluran Inggeris dan pasaran antarabangsa. Jadi, bersama saya lagi nanti.
:)