Kepada anak-anakku,
Sukar bagi kita mewarisi sifat rendah diri. Ianya tidak dapat dipegang tetapi ia boleh dibentuk dari kecil lagi. Sifat rendah diri ini membezakan jati dirimu dan ia adalah sifat murni yang harus ditawan. Terdapat ramai diluar sana yang mempunyai sifat ini - pada si miskin mahupun si kaya, ia wujud di mana-mana. Namun, terdapat juga musuhnya yang sedang berleluasa - iaitu sifat bongkak dan meninggi diri. Jauhilah musuhmu yang nyata ini, wahai anak-anakku.
Oleh kerana sifat rendah diri ini sukar diwarisi, ayah ingin kenalkan rupa dan miripnya agar kamu bertiga ketahui cara mendekati serta mengabadikannya di hari muka.
Ketahuilah anak-anakku, sifat rendah diri ada beberapa teman. Teman karibnya adalah sabar. Teman setianya adalah diam dan teman tidurnya adalah syukur.
Teman karib, SABAR: Dalam kehidupan yang serba sibuk di dunia ini, kamu akan terjumpa berbagai keadaan yang menduga diri. Tetapi kalau kamu menjadikan sabar dekat dengan dirimu, pasti kamu tidak akan terasa kecewa. Bila kamu terdesak atau teruji, sifat sabarlah yang akan membawamu mengadu dan mengadap Penciptamu serta menyerahkan segala masalahmu kembali kepadaNya. Jika ada rakan-rakanmu yang menghampakan dirimu atau mungkir janji, ketahuilah mereka itu manusia dan tidak sempurna - sama seperti dirimu. Sabarlah anak-anakku, tetapi jangan lakukan yang serupa kepada rakanmu. Jika ada yang kamu cita-citakan, mulakan kerja kerasmu tetapi sabarlah menanti ketibaan impianmu itu. Semua perkara akan tetap terjadi tepat pada waktu yang ditentukanNya. Sabar sahaja dalam apa jua yang kamu hadapi. Kenalilah sabar anak-anakku kerana sabar itu teman karib sifat rendah diri.
Teman setia, DIAM: Oh anak-anakku, ramai diluar sana yang berani berdebat, berani melawan kata dan berani menajamkan lidah mengungkap kata-kata pedas hanya untuk menegakkan pendirian masing-masing. Tetapi tidak ramai yang berani diam. Ayah mahu kamu diam di tengah-tengah perbincangan yang hangat walaupun kamu tahu kamu benar. Kerana berdiam itu tidak bermaksud kita kalah, tetapi diam membawa kita pindah ke suatu tempat yang tidak beremosi. Kadang-kala mereka yang suka berdebat, lebih-lebih lagi bila sedang menegakkan benang yang basah, mereka akan terikat dengan emosi sehingga tidak dapat membezakan logik dan kebenaran. Diam, undur dan sertakan doa agar kawanmu itu menerima petunjuk. Orang yang suka berdebat hanya ingin melihat dirinya betul. Jadi kita tidak perlu merasa sedih akan hakikat itu. Wahai anak-anakku, diam itu lebih baik dari menyebut yang bukan-bukan. Inilah pesanan Rasulmu (SAW). Gunakan masamu untuk berdiam diri sambil merenung tanda-tanda Kebesaran Tuhanmu. Dengan berdiam kamu tidak akan sunyi malah akan sentiasa terasa tenang. Tetapi jika terang-terang ada anatara kawanmu yang teraniaya, janganlah berdiam diri. Bantulah dengan tanganmu jika boleh. Jika tidak mampu, bantulah dengan pendapatmu tetapi jika itu juga tidak mampu dilakukan, bantulah dengan doamu. Ingat anak-anakku, diam adalah teman setia sifat rendah diri.
Teman tidur, SYUKUR: Anak-anakku, ubat kepada segala kesedihan itu adalah syukur. Ayah dambakan kamu menjadi orang yang berjaya satu hari nanti, tetapi janganlah kamu lupa untuk bersyukur akan setiap kejayaan (mahupun kegagalan) yang datang menjemputmu. Kesyukuranmu yang menyambut setiap kejayaanmu akan ditambah nikmat ke atasnya. Kesyukuranmu yang menyambut kegagalanmu akan juga ditambah kesabaran ke atasnya. Bila saja tiba malam sebelum tidurmu, bersyukurlah atas apa yang sudah ditentukan dan maafkan saja sesiapa yang menyakitimu. Dan bila kamu bangkit dari tidurmu, bersyukurlah kepada Allah kerana memberimu peluang sekali lagi untuk berusaha dan beribadah pada hari itu.
Amat mudah mencari teman sabar, diam dan syukur. Ciri-ciri ini sebenarnya tanda dan bukti yang nyata seseorang itu mempunyai sifat rendah diri. Sifat ini tersemai di dalam lubuk hatimu. Ingatlah wahai anak-anakku, sabarmu, diammu dan syukurmu menghidupkan sifat rendah dirimu. Ciri-ciri ini saling menguatkan serta saling memerlukan satu sama lain. Begitulah bila memilih teman-temanmu. Pilihlah teman yang saling menguatkan dan saling menyokongmu ke jalan yang benar.
Hati-hati bila memilih temanmu kerana tabiatmu dipengaruhi teman sekeliling.
Ayah doakan kamu memilih sabar, diam dan syukur serta bersedia menjadi duta kepada sifat rendah diri dalam apa jua situasi.
Ikhlas menyayangimu,
Ayah.