Syukran Circle... Kreativiti, perniagaan & tawakkal

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terimakasih kepada Syukran yang sudi mengundang saya. Juga kepada semua yang hadir dalam acara itu. 

Saya teruja dapat bersama Syukran dan para hadirin kerana topik inilah yang saya nanti-nantikan.

Kepada mereka yang tidak sempat hadir, tadi pagi saya mengongsi cara saya sendiri meletakkan harga kepada khidmat kreatif seperti suara latar dan perkhidmatan penerbitan TV. 

Oleh kerana masa tidak mengizinkan, saya tidak sempat menyenaraikan semuanya. Bila kita ingin meletak harga dalam khidmat kreatif, kita perlu:

1. Selidik apa yang biasa tertera di industri kita (industry standards). Agar kita tidak jauh dari apa yang biasa dilakukan.

2. Harga mengikut kepakaran

3. Harga mengikut golongan sasaran

Itulah yang sempat saya kongsi dan terangkan di Syukran Circle 2. Saya juga telah berkongsi bagaimana tawakkal kepada Allah telah membawa saya ke France lalu diberi peluang menandatangani MOU bersama Korean Broadcasting System N (KBSN). 

Berikut adalah lanjutan topik saya:

4. Harga yang kita letakkan itu tidak harus menzalimi pelanggan dan juga tidak menzalimi diri kita sendiri. Inilah pesanan Ustaz Syed Alsagoff bila saya bertemunya dalam temubual audio CD Siap Niaga. Kita perlu lihat samada harga kita itu akan 'menganiayai' pelanggan. Maksudnya, jika kita tahu dia sudah tidak ada jalan keluar dan sangat-sangat memerlukan khidmat kita, janganlah kita ambil kesempatan meninggikan harga kita. Ini akan membuat pelanggan terdesak dan mungkin memburukkan keadaan mereka. Kita juga tidak boleh meletakkan harga yang terlalu rendah sehingga 'menganiaya' syarikat kita - kerana setiap syarikat perlu membuat keuntungan yang memadai. Tetapi ini tidak bermakna anda tidak boleh menolong pelanggan dengan diskaun yang berpatutan. Buatlah jika mampu.

Dan jika kita ingin menolong dan memberikan khidmat yang percuma, kita mesti betulkan niat agar ia hanya dilakukan kerana Allah swt. Dan jika anda sudah melakukannya, ketahuilah niat suci anda itu akan menerima ganjaran Allah yang berganda.

5. Adakalanya harga yang kita letakkan itu mungkin tidak mengena sasaran. Saya pernah berkhidmat membuat iklan TV untuk sebuah bank. Bila saya memberi 'quote' kepada mereka, mereka katakan quote saya itu terlalu rendah. Jadi bila saya dapatkan maklum balas daripada bank itu, mereka katakan mereka perlukan khidmat yang lebih mahal harganya. Lebih mahal? Ya mereka katakan harga yang mereka jangka untuk iklan itu adalah dua kali ganda dan mereka akur harga begitu boleh menarik bakat dan perkakas yang terbaik di pasaran. Jadi, kesimpulannya, ada pelanggan yang sudah biasa dan mampu membayar lebih daripada pelanggan lain - kerana mereka hanya inginkan perkhidmatan yang terbaik dari kita.

Kepada semua peserta Syukran Circle, carilah peluang di mana sahaja walaupun kita perlu ke luar negara. Kerana Allah sudahpun merancang sesuatu yang baik dan cemerlang untuk kita di serata pelusuk dunia ini. Kita hanya perlu hadirkan diri dan ingatkan Allah selalu.

Saya doakan Syukran Circle akan terus berkembang untuk membincangkan topik-topik kreatif & Islam yang lain. 

Selamat Maju Jaya Semua!

(Thank you to my brother, Hairi, for sending me the photos)