Mengapa saya rasa Berita di TV harus disiarkan ke semua saluran

Saya kagum dengan langkah BeritaOnSuria yang kini sudah berada di Facebook. Inilah cara baik untuk mendekatkan kandungan penting ini kepada masyarakat. Sememangnya kandungan berita adalah untuk semua lapisan masyarakat.

Saya percaya kita boleh mengembangkan siaran Berita  agar ia boleh dikeudarakan di semua wadah televisyen yang lain.

Screen-shot-2011-10-22-at-PM-04.01.20-300x262.png

Mengapa?

Seperti yang kita ketahui, kandungan berita disokong wang masyarakat (taxpayers money) dan ia mesti ditempatkan di seberapa banyak wadah yang ada agar semua lapisan masyarakat dapat menontonnya dengan mudah. Sehingga kini, Berita hanya disiarkan di satu saluran sahaja iaitu di saluran Suria. Oleh kerana dewasa ini kita sudah ada 5 pilihan saluran kandungan Melayu yang lain di Singapura seperti Sensasi, mio Aruna, Mio Ria, MNC & OneMalay, kita harus memikirkan soal ini semasak-masaknya. Kerana kesannya agak mendalam.

Dengan adanya berbagai pilihan saluran berbentuk Melayu, sudah tentu tontonan masyarakat Melayu Singapura akan ‘berpecah’ dan tidak tertumpu hanya pada satu saluran sahaja.

Maksud saya, jika dahulu, sebelum adanya semua saluran-saluran alternatif ini, hampir semua penonton akan didedahkan dengan kandungan Berita tepat pada jam 8 malam. Hari ini, kalau kita tanya orang ramai di manakah tumpuan tontonan mereka pada jam 8 malam, tentu jawapannya tidak menentu. Ada yang tonton Suria, ada yang menonton Sensasi, ada yang menonton mio TV, ada yang berada di online dan ada yang langsung tidak menonton sebarang kandungan TV. Ini memang perkara yang tidak dapat dielakkan dengan adanya pelbagai sumber media di luar sana.

Tetapi  tontonan masyarakat kita yang berpecah-belah ini boleh dikawal.

Apa yang ingin saya sarankan adalah kita menyiarkan Berita jam 8 Malam ini kepada semua saluran TV yang mempunyai kandungan berbentuk Melayu. Ya, bukan saja di Suria, tetapi di Sensasi, di mio TV dan lain-lain saluran alternatif.

Ini penting kerana kita mesti mendekatkan kandungan Berita kita kepada semua lapisan masyarakat. Semua saluran mesti mendukung kandungan Berita. Jika tidak, mesej-mesej penting yang hendak disebarkan menerusi Berita tidak akan sampai ke semua penonton. Hari ini, tidak cukup ia dikembangkan di online kerana ada juga sekumpulan penonton yang langsung tidak ada di alam maya.

Dengan cara ini juga, kita benar-benar memaksimakan dana PSB (Public Service Broadcast Fund)yang diperuntukkan bagi penerbitan Berita.

Saya turut yakin jika semua penonton ‘dimestikan’ menonton Berita, banyak mesej yang berfaedah (serta hal ehwal semasa) akan sampai ke setiap golongan masyarakat kita.

Ini sudah dilakukan di negara jiran. Indonesia misalnya, bila saja waktu Berita, semua saluran TV akan menyiarkannya secara serentak. Saluran daerah akan mengambil ‘news feed’ atau sumber berita dari Saluran Nasional secara langsung. Ia dimestikan dan secara serentak seluruh Indonesia akan menonton kandungan Berita.

Oleh kerana negara kita lebih kecil, kita tidak harus ada masalah menyiarkan Berita secara langsung (dan serentak) ke semua wadah saluran TV yang ada.

Bila kita mempunyai slot Berita yang dimestikan ke atas semua wadah televisyen (Free-to-Air & Cable), kesan jangka panjangnya adalah sangat bermanfaat. Masyarakat akan lebih prihatin tentang hal ehwal semasa. Dan tidaklah kita membiarkan masyarakat memilih kandungan hiburan bila semuanya harus mengambil berat tentang kandungan hal ehwal semasa. Lagipun, lebih banyak baiknya bila semua masyarakat ‘satu hati’ menonton kandungan yang amat penting ini secara serentak.

Saya hanya khuatir jika kandungan Berita dikhususkan kepada satu saluran TV sahaja, ramai yang akan terbiasa dengan ketiadaan kandungan ini dalam hidup mereka – lebih-lebih lagi jika saluran-saluran alternatif adalah sumber media utama mereka. Jika sudah terbiasa, mereka akan menganggapnya sebagai tidak penting. Bila kandungan ini sudah dianggap tidak penting, ramai yang akan ‘buat hal sendiri’ dan kita, satu hari nanti, akan menjadi masyarakat yang tidak peka.

Kita boleh cuba dengan siaran serentak pada hujung minggu dahulu. Kemudian berpindah ke hari-hari biasa.

Jika anda setuju dengan saranan saya, kongsilah blog ini. Saya harap pihak-pihak yang boleh menggerakkan idea ini dapat sama-sama membincangkannya.

Media untuk semua.