Datang kerja mesti awal…

Saya suka kepada pekerja yang datang awal. Kerana tabiat ini adalah petanda besar seorang pekerja itu ada disiplin dan juga prihatin tentang waktu ia diperlukan di tempat kerja.

Di dalam buku saya, saya ada menceritakan bagaimana dulu – bila saya bekerja di stesen televisyen – saya bertekad datang lebih awal setiap hari. Alhamdulillah, saya dapat melakukannya. Saya akan ada di pejabat satu atau satu setengah jam lebih awal dari waktu yang diperlukan. Dengan datang awal, saya banyak menghabiskan kerja-kerja baru yang diberikan bos saya pada hari sebelumnya.

Jadi bila bos saya tiba pada pukul 9 pagi, semua kerja sudah saya letakkan  di atas mejanya untuk disemak. Tabiat ini telah membuat saya berupaya dinaikkan pangkat beberapa kali dan juga dapat menarik perhatian CEO saya pada ketika itu (kalau ingin tahu bagaimana saya dapat menarik perhatian CEO saya dengan tabiat awal saya, bacalah buku saya “10 perkara saya pelajari dari 10 jutawan Asia.“)

Oleh kerana saya sudah terbiasa dengan tabiat awal, saya menjadi pantang bila pekerja datang lewat. Kerana bila seorang pekerja datang lewat, mereka tidak dapat mengejar dateline dan kadang-kala terpaksa mengambil masa selepas waktu pejabat untuk menghabiskan kerja. Tabiat itu juga boleh menyebabkan seseorang tidak menghormati waktu. Ini boleh menjejas prestasi dan kemahiran mereka mengatur jadual projek.

Sebenarnya bila kita datang lambat, ia memberi satu tanda jelas kepada majikan kita yang kita tidak serius dengan waktu kerja kita. Bila kita tidak serius, majikan juga merasakan kita belum bersedia mendukung tugasan yang lebih besar.

Kerana tugas dan tanggungjawab yang lebih besar memerlukan seseorang yang berdisiplin dengan waktu. Dan orang yang berdisiplin boleh dijadikan contoh kepada pekerja-pekerja lain. Seperti yang kita tahu, tugas dan tanggugjawab yang lebih besar juga bermakna gaji yang lebih besar. Jadi jika kita inginkan gaji yang lebih besar, kita mesti mulakan dari rumah – iaitu, pukul berapa kita keluar rumah? Pukul berapa kita sampai kerja?

Jika ini dapat diubah, sudah tentu perkara-perkara lain tidak menjadi masalah. Buatlah setiap hari dan lihat sendiri kesannya!

Semoga berjaya!!