Hari Isnin adalah hari 'off' kami kerana hampir semua kakitangan ScreenBox akan berehat. Kami sudah bekerja pada setiap hari Ahad untuk rancangan Selamat Pagi SG jadi saya berikan semua yang terlibat 'off-day' pada hari Isnin agar mereka dapat berehat dan mulakan kerja pada hari selasa dengan lebih bertenaga. Inilah rutin mingguan kami.
Jadi tidak hairanlah jika pejabat saya hampir kosong pada hari Isnin. Saya juga off pada hari Isnin tetapi saya suka ke tempat kerja pada hari off saya kerana keadaan di pejabat amat tenang dibandingkan hari-hari biasa. Bukan apa, pada hari biasa ke semua kakitangan kami akan sibuk mengejar dateline dan keadaan di pejabat bagai medan pertempuran kerana semua kerja harus diselesaikan mengikut jadual.
Saya sering menggunakan hari Isnin untuk membuat pelan perniagaan saya, renungkan langkah seterusnya dan menjawab segala emel yang tidak sempat dijawab minggu lalu. Saya juga akan cuba tidak menelefon pelanggan pada hari Isnin kerana saya tidak mahu mengganggu mereka lebih-lebih lagi kerana mereka baru sahaja ke pejabat selepas hujung minggu.
Bagaimana hari Isnin anda? Saya suka Isnin yang tenang dan sejahtera. Alhamdulillah.