Saya mengenali Kak Zaleha menerusi drama-drama yang beliau ceburi. Tidak lama dulu kami dapat bekerja sama dalam projek-projek seperti telemovie Ganyut dan rancangan informasi Boomers yang disiarkan di saluran Channel News Asia.
Beliau adalah antara segelintir artis yang boleh berbahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin dengan baik.
Ini ketara sekali dalam penerbitan Boomers. Di mana Kak Zaleha perlu berbahasa Inggeris dan kadang-kala berbahasa Mandarin dengan mereka yang ditemubual.
Ada beberapa artis Singapura lain yang juga berkebolehan berbahasa Mandarin dan Inggeris seperti Sharon Ismail. Saya dapati kemahiran ini membuat mereka berupaya membuat cross-over ke saluran-saluran lain. Syabas! Namun ada di antara artis kita yang sudah cross-over ke saluran 5 tanpa kemahiran bahasa Mandarin, seperti Suhaimi Yusof dan Fauzi Laily. Saya akui bakat Suhaimi sememangnya universal sehingga membawanya ke KL. Bagi Suhaimi, ketekunan dan kerja keras beliau membawanya ke pasaran yang lebih luas. Bagi Fauzi pula, keputusannya untuk menjadi artis MediaCorp dahulu amat membuahkan hasil.
Apa yang ingin saya ketengahkan adalah: kita perlu menambah kemahiran kita dalam apa jua yang kita ceburi. Tidak cukup kita mempunyai pengkhususan dalam suatu kemahiran tetapi kita juga perlu mencari peluang melebarkan sayap kita di mana saja kemahiran kita diperlukan. Kita cuba mendongak serta sentiasa melihat jauh agar dapat menjangkau penemuan baru.
Bagi Kak Zaleha yang sudah lama menceburi bidang ini, saya tabik usaha beliau membuat dirinya sentiasa aktif dan terus yakin dengan kemahiran yang beliau ada. Beliau merupakan bukti bahawa kemahiran dan ilmu tidak mengenal usia.