Tahun lalu (2022) saya diundang kedutaan Arab Saudi di Singapura untuk menunaikan Haji bersama isteri. Saya tak sangka dapat undangan Haji ini dan sangat-sangat berasa syukur akan pemberian Allah swt ini. Saya catatkan pengalaman saya agar dapat menjadi rujukan bagi mereka yang akan pergi Haji menerusi visa Mujamalah.
*Tulisan saya ini tertumpu kepada pengalaman menggunakan visa mujamalah dari aspek administrasi dan susunan itinerari kami. Walaupun saya dan isteri diundang, isteri saya memberikan tempatnya kepada anak sulung kami, Qistina, kerana isteri saya perlu memantau anak-anak kami yang lain yang sedang menjalani peperiksaan. Untuk melakukan Haji DIY, anda perlu visa Mujamalah yang diberikan Kedutaan Arab Saudi.
Anda juga boleh tonton pengalaman kami menerusi video di Facebook, Youtube Instagram & TikTok
1 minggu sebelum berangkat
Saya terima panggilan daripada kedutaan Arab Saudi pada 28 Jun 2022, sekitar seminggu sebelum kami perlu berangkat ke Makkah. Undangan ini menerangkan bahawa kami telah diberikan visa Mujamalah yang membolehkan kami melakukan ibadah Haji pada tahun 2022. Dengan visa mujamalah kami boleh:
- Tempah & bayar pakej Haji menerusi portal Courtesy Haj Visa Services Portal
- Tempah & bayar tiket penerbangan ke Makkah
Saya dapati ada berbagai visa undangan Haji. Ada yang menerima undangan sekaligus ditaja segala perbelanjaan seperti penerbangan, hotel dan masyair (masyair itu adalah tempat tinggal di Arafah, Muzdalifah & Mina). Undangan yang saya terima tidak termasuk tajaan itu, namun kami tetap bersyukur atas peluang ini dan dengan besar hati kami menggunakan perbelanjaan kami sendiri. Visa mujamalah bermakna visa courtesy.
Inilah langkah-langkah untuk mengesahkan visa mujamalah secara rasmi:
1. Walaupun kita sudah menerima undangan, kita perlu mengesahkan visa mujamalah itu dengan membayar pakej Haji dahulu menerusi Haj Visa Services Portal terlebih dahulu.
Pakej Haji ini termasuk tempahan hotel penginapan di Makkah sahaja, Masyair (tempat tinggal di Arafah, Muzdalifah & Mina). Ia juga termasuk makanan di Masyair dan transport dari lapanganterbang Jeddah ke Makkah dan bas ke Arafah, Mudzdalifah & Mina.
Harga pakej = SAR11901 (SGD4263) setiap seorang
*Pakej ini tidak termasuk makanan dan hotel penginapan di Madinah dan pengangkutan bullet train ke Madinah
Hotel yang anda pilih menerusi portal ini berubah mengikut siapa dahulu didahulukan. Kadang bila anda masuk dan cuba memilih hotel yang anda cari mungkin sudah terlebih dahulu ditempah Jemaah lain, jadi saya sarankan anda cepat-cepat pilih yang mana anda rasa sesuai. Saya syorkan pilih yang dekat dengan masjid walaupun itu tidak selalu kitab oleh dapat. Anda juga perlu tahu bahawa makanan dalam hotel tidak disertakan dalam pakej ini, jadi anda perlu cari makanan sendiri. Namun, makanan di dalam masyair (Arafah, Muzdalifah & Mina) ada disertakan dalam pakej yang ditempah menerusi portal ini.
Saya dan anak saya dapat hotel yang jauhnya 2 kilometer daripada Kabaah – nama hotel VOCO hotel. Hotelnya agak baru. Yang menariknya, hotel yang kami tinggal ini boleh dinginapi selama 20 hari. Bermakna, setelah Haji nanti anda boleh memilih untuk tinggal di Makkah selama 20 hari. Jika anda mengambil keputusan untuk ke Madinah, anda harus tahu yang anda tidak boleh lagi masuk ke Makkah dari Madinah menggunakan visa mujamalah Haji. Ini tidak dibenarkan. Anda harus berangkat ke lapanganterbang Jeddah dari Madinah terus untuk pulang ke tanahair
Harga tiket penerbangan = SGD818 setiap seorang (kami upgrade sendiri ke business class+)
Ini bermakna harga keseluruhan perbelanjaan Haji DIY (tidak termasuk lawatan ke Madinah) adalah SGD10,162. Perkiraannya seperti berikut.
Pakej Haji (hotel & Masyair) SGD4263 x 2 = SGD8526
Penerbangan Saudi Airlines SGD818 x 2 = SGD1636
Jumlah keseluruhan = SGD10,162 untuk 2 orang*
* belum termasuk perbelanjaan telefon 3G & makanan diluar masyair.
+ anak saya cadangkan memberikan business class kami kepada 2 jemaah lain yang lebih tua yang akan merasa lebih selesa duduk di kapalterbang nanti dalam perjalanan yang panjang. MasyaAllah, anak Qistina ini sangat prihatin untuk membantu orang lain.
2. Setelah anda selesai menempah package Haji menerusi portal itu, barulah anda menerima e-visa rasmi secara online. Perlu dibawa kemana-mana sehingga menerima lencana Haji di Tanah Suci nanti.
Jangan lupa juga untuk mencetak baucar hotel Makkah yang sudah ditempah agar mudah check-in nanti. Baucar hotel boleh dicetak dari Courtesy Haj Visa Services Portal.
3. Kami juga perlu dapatkan beberapa vaksinasi sebelum ke sana: meningococcal vaccine (MenACWY) & Influenza Vaccine. Untuk mereka yang berusia lebih 65 tahun, mungkin ada lagi vaksinasi yang perlu diambil. Jadi tanya kepada doktor ya dan jangan lupa bawa surat vaksinasi ke sana. (Sewaktu kami ke sana, kami perlu bawa sijil PCR – kerana covid masih berleluasa).
4. Sebelum ke lapanganterbang, isi arrival card ke Arab Saudi dahulu. Ini diperlukan kerana anda perlu daftar sebelum masuk ke Arab Saudi. Klik di sini untuk mendaftar: https://bit.ly/43uZluY
Pastikan anda bawa semua dokumen yang diperlukan agar tidak ada masalah di sana nanti. Saya letakkan semua dokumen dalam satu folder di hand-carry luggage (jangan check-in) kerana is selalu diperlukan.
4 hari sebelum berangkat
Saya dan anak sulung saya mengambil crash course Haji selama 2 hari dibawah pimpinan Ustaz Husnan dari Zaky Alwie Travels & Services. Bila mendengar kami diundang untuk menunaikan fardhu Haji, pemiliknya syarikat ini, Ustaz Zaky Shaik Alwie menawarkan kursus Haji kepada kami berdua. Beliau juga memberi kami barang-barang yang diperlukan seperti beg luggage kecil untuk masyair, botol air wudhu, kantong kecil untuk mengutip batu, sejadah dan banyak lagi.
Kursus yang kami hadiri itu sangat berguna kerana Haji DIY tidak ada mutawwif di sana jadi kami hanya bergantung kepada ilmu yang diajarkan Ustaz Husnan dan buku bimbingan yang beliau berikan.
MasyaAllah, terharu mendengar kata-katanya. Semoga mereka berdua dipelihara Allah, sihat dan murah rezeki. Aamiin. Itulah juga sebabnya mengapa saya menuliskan blog ini agar dapat membantu tetamu-tetamu Allah yang lain. In shaa Allah.
Saya benar-benar yakini, bila kita diundang Allah, Allah akan aturkan semuanya agar kita bersedia dan perjalan kita sentiasa dimudahkan. (Teruslah membaca kerana banyak perkara boleh dan sudah berlaku, namun dengan kuasa Allah, semuanya dapat diatasi.)
Hari berangkat ke Tanah Suci
Bila kami berangkat pada malam itu, setelah masuk dan diberikan boarding pass, kami disuruh keluar kerana syarikat penerbangan mengatakan border sudah ditutup. Kami terlalu hampa dan pulang. Terasa bingung sebentar kerana semua dokumen sudah diatur dengan baik.
Keesokan harinya, kami terima panggilan daripada kedutaan Saudi yang mengatakan kami boleh menempah penerbangan Saudi dan kali ini kami menerima dokumen yang membenarkan kami masuk ke Makkah walau border sudah ditutup. Alhamdulillah.
Apa yang saya belajar daripada perkara ini adalah: Kita tidak boleh tempah penerbangan selain Saudi Airlines kerana syarikat lain ada tarikh tutup masuk ke Jeddah yang lebih awal. Ketika itu saya tidak tahu. Jadi jangan tempah penerbangan syarikat lain melainkan anda boleh pergi ke tanah suci lebih awal. Oleh kerana saya menerima undangan agak lewat, lebih baik menempah penerbangan Saudi Airlines sahaja.
Bila tiba di Jeddah Airport
Bila tiba di Jeddah Airport, 3 perkara anda mesti ketahui. Pertama, anda tiada mutawwif jadi semuanya mesti dilakukan sendiri. Kedua, mesti beli SIM card mereka kerana ia lebih murah untuk mendapat 3G sepanjang ibadah anda.
Saya beli SIM card dari STC, 65G berharga 390 Saudi Riyal (SGD104) agar boleh gunakan whatsapp dan media social.
Untuk pengetahuan anda, walaupun anda boleh gunakan whatsapp text, anda tidak boleh buat panggilan whatsapp. Walaupun ada 3G, panggilan 3G tidak dibenarkan di sana. Jika anda ingin gunakan whatsapp call, anda perlu ada VPN dahulu yang dimuat-turunkan dari negara sendiri dahulu. Saya gunakan Express VPN.
Namun jika anda tidak mahu gunakan VPN atau terlupa memasangnya, anda masih buat panggilan dengan menggunakan telegram. Mutu sambungan Ketika kami di sana tidak begitu baik, tapi masih boleh digunakan.
Perkara yang terakhir, anda perlu pergi ke kaunter bas yang akan bawa anda ke sana. Di kaunter ini mereka akan tanyakan e-visa Haji anda dan dokumen-dokumen lain dan mereka akan berikan anda bracelet yang berwarna menandakan di maktab mana anda akan tinggal di masyair nanti. Lencana Haji kami belum lagi diberikan di sini, hanya di hotel nanti.
Jangan terperanjat bila driver bas meminta passport anda kerana mereka akan simpan passport anda sehingga tiba di hotel anda nanti. Mereka pegang kerana mereka dibayar secara komisyen untuk membawa setiap Jemaah ke hotel masing-masing.
Ada 43 orang dalam bas kami dan mereka daripada Jemaah antarabangsa. Ada seperkara yang berlaku semasa di dalam bas – ada Jemaah yang bergaduh kerana mereka ingin dihantar ke hotel dahulu. Saya faham perasaan mereka kerana sebenarnya semuanya ingin ke Arafah secepat mungkin jadi ada di antara Jemaah yang memaksa pemandu bas agar menghantar ke hotel mereka dahulu walaupun aturan perjalanan hotel sudah disusun terlebih dahulu. Pelik juga ya, bergaduh semasa berihram. Saya dan anak saya duduk berdiam diri dan tidak mahu masuk campur namun, pertelingkahan mereka tidak mempercepatkan perjalanan.
Saya dan anak saya menjadi Jemaah terakhir yang dihantar ke hotel. Sebenarnya hotel kami hanya 30 min perjalanan dari airport, namun atas kekecohan sesetengah Jemaah, kami tiba di hotel hamper 13 jam lamanya. Allahu Akbar. Kami sabar sahaja kerana sedang berada dalam ihram dan kami tahu ini adalah cobaan.
Hotel kami di Makkah
Setibanya di hotel, kami dapati hotel yang kami tempah itu besar, namun setiap bilik sebenarnya kongsi dengan 2 jemaah yang lain. Jadi anda perlu bersedia melakukannya. Nasib baik Jemaah yang kami kongsi itu sebenarnya kami sudah kenal terlebih dahulu.
Semasa di hotel passport kami dipulangkan dan lencana Haji dan masyair diserahkan kepada kami. Lencana ini sangat penting jadi jagalah ia dengan baik. Ini adalah kerana ia harus dipakai ke mana sahaja kita pergi dan di belakang lencana ini ada QR code dan keterangan agar anda boleh ambil makanan di dapur masyair.
Bergerak ke Arafah
Selepas menerima lencana dan meletakkan luggage dibilik, kami mengambil beg kecil untuk Arafah, Muzdalifah & Mina. Beg yang mengandungi barang-barang yang diperlukan masyair.
Bila kami hendak bergerak ke Arafah, bas yang menantikan kami sudah bergerak jadi kami tidak ada transport ke Arafah (tadi kan kami lambat tiba di hotel jadi bas kami yang menunggu sudah terlebih dahulu ke Arafah. Oleh kerana kami tidak boleh gunakan teksi ke Arafah, kami tidak ada jalan lain untuk ke sana. Saya mula risau namun, seperti yang saya katakan, Allah akan hantarkan pertolongan. Sedang kami berusaha mencari transport, dating seorang hamba Allah yang menawarkan pertolongan. Beliau tanya kami dari mana. “Singapore”, kata saya. Saya kemudian meluahkan yang kami terlepas bas kami ke Arafah. Beliau langsung menawarkan naik basnya yang terakhir masuk ke Arafah. Rupa-rupanya hamba Allah ini pentadbir Jemaah Indonesia yang sedang dibantu dari segi pengangkutan dan makanan. Beliau juga menawarkan kita makan. MasyaAllah. Semoga Allah memelihara orang ini.
Kami menaiki bas dan tiba di Arafah pada malam sebelum wukuf. Khemah maktab 55 yang kami nginapi di Arafah di kumpulkan di bawah satu bumbung bersama Jemaah Indonesia. Anak perempuan saya berada di dalam satu khemah dan tidak terpisah walaupun diasingkan antara Jemaah lelaki dan wanita.
Sebenarnya saya sudah melihat banyak video dan gambar Arafah sebelum ini dan bila tiba di sini, saya benar-benar tidak dapat menahan perasaan saya betapa seronoknya berkumpul menantikan waktu wukuf. Keadaan di Arafah sangat ringkas, kerana hanya tilam sekeping dan 1 bantal yang disediakan dan ini sangat-sangat memberi kesan menundukkan rasa keselesaan yang sering kita ada di rumah. Dalam setiap khemah yang berhawa dingin boleh membumbungkan sekitar 150 hingga 200 orang Jemaah Haji.
Satu perkara yang berlaku malam pertama di Arafah adalah kami tidak ada makanan dan minuman. Ini kerana kami tidak jumpa pentadbir yang membantu kami di Masyair. Arafah sangat besar dan ini pertama kali kami di sini. Namun saya terfikir juga bagaimana kitab boleh mengambil makanan (kerana waktu itu saya belum tahu tentang lencana kami yang boleh digunakan untuk menempah makanan). Dalam keadaan yang lapar, pada lewat malam anak saya membawa makanan kepada saya. Katanya, ada jemaah dari Indonesia yang memberikan beliau makanan. Katanya, mereka ada lebih dan sudi memberinya kepada kami. Allahu Akbar, Allah mendengar isi hati kami dan walau belum tahu di mana tempat mengambil makanan, Allah menghantar makanan menerusi hamba-hambanya yang baik budi. Jadi jangan terlalu risau tentang makanan 😊
Secara jujur, saya tak lena tidur, kerana kita ada banyak perkara yang sedang berlaku: nak biasakan diri di Arafah dan prasarananya, ibadah malam, berkenalan dengan para jemaah yang tidur berdekatan dengan saya. Namun akhirnya lewat malam saya dapat tidur tetapi kami semua bangun malam untuk tahajjud. Saya melihat ramai yang usianya lebih daripada saya dan mereka semua memberitahu saya mereka nantikan selama 30 tahun untuk dapat peluang menunaikan Haji. MasyaAllah, baru saya tahu di Indonesia waktu penantian sekitar 30 hingga 35 tahun ke Haji setelah mendaftar. Di Singapura, katanya 17 tahun. Jadi, saya benar-benar bersyukur kerana anugerah yang terbesar ini diberikan kepada saya dan anak saya tanpa kami mendaftar. Subhanallah. Sampai bila-bila kami tak akan lupa in shaa Allah.
Dalam khemah kami ada para imam dari beberapa agensi Haji di Indonesia dan mereka berganti-ganti mengimamkan waktu solat. Terasa ibadah Haji bila kita semua solat bersama dalam keadaan ihram dan serba ringkas. Langsung tidak terfikir soal kerja, niaga dan segala urusan di tanahair. Tumpuan hanya di bumi Arafah dan zikir sepanjang masa.
Saya dan Qistina (anak sulung) kemudian mengambil masa selepas subuh untuk menelefon isteri saya di rumah dan memberikan beliau update kerana dah lama juga kami belum memberi khabar setelah tiba di Arafah. Tuhan saja yang tahu isi hati saya melihat isteri dan inginkan beliau mengalami Haji satu hari nanti in shaa Allah.
Kemudian kami ikut 2 jemaah Singapura yang bersama menggunakan visa Mujamalah untuk mencari adik kembarnya yang juga sama-sama ke Haji tetapi beliau mengikut jemaah Haji dari Singapura. Sempat juga kami bertemu rakan-rakan dari Singapura yang
Bila kami pulang ke khemah dan menyiapkan diri untuk wukuf, saya dapati bila kita sudah siapkan senarai tulisan doa dari rumah, ia sangat membantu. Di Arafah, kita mungkin tak dapat ingat segala niat dan doa yang sudah kita rancangkan. Tambahan pula doa-doa yang orang kirimkan. Jadi sebelum sampai ke Tanah Suci, tuliskan senarai doa kita untuk keluarga dan saudara mara serta mereka yang kirim, cukup membantu. Anda boleh juga buat senarai ini semasa dalam penerbangan ke Tanah Suci.
Waktu wukuf di Arafah
Waktu wukuf di Arafah diisi dengan zikir-zikir, doa serta tangisan yang teramat sangat. Saya tak pernah merasai perasaan begini dan ia cukup memberi kesan sehingga ke hari ini. Lebih-lebih lagi waktu wukuf kami jatuh pada hari Jumaat. Jemaah kami melakukan solat Jumaat bersama dan saat yang sangat-sangat menyentuh jiwa saya adalah bila imam memberi khutbah yang mengingatkan kami erti ibadah Haji dan betapa istimewanya mereka yang diundang sebagai Tetamu Allah. Ramai yang mendengar khutbah itu banyak melahirkan airmata dan saya sendiri tidak dapat menahan kesedihan. Tambahan pula imam menambah dalam khutbahnya bahawa, mabrurnya Haji kita ini juga bergantung kepada redhanya ibu dan pasangan kita. Kenyataan ini membuat saya menghubungi ibu & isteri saya dan meminta keredhaan mereka. Ini sangat penting.
Saat yang paling sedih bagi saya bila saya bertemu dengan anak sulung saya Qistina selepas khutbah Jumaat dan meminta maaf kepadanya. Beliau juga meminta maaf kepada saya. Saya tak tahu mengapa itu menjadi saat yang penuh membawa erti bagi kami berdua dan ini menjadi ingatan sehingga ke hari ini. Terharu sangat.
Sepanjang waktu wukuf saya melihat ramai Jemaah berzikir dalam kumpulan mereka sendiri – ada yang duduk di dalam khemah dan ada yang mencari tempat di luar khemah. Di mana saja kita memandang, kita akan melihat Jemaah tanpa henti melakukan zikir & doa.
Sekitar 45 minit sebelum waktu wukuf berakhir, kami melihat matahari mula terbenam sedikit demi sedikit di sebalik gunung – sesuatu yang sangat menakjubkan. Ini adalah kerana kedengaran suara ramai Jemaah yang terus merayu dan berdoa kepada Allah kerana waktu wukuf hampir-hampir berakhir.
Bergerak ke Muzdalifah
Bagi pemegang visa mujamalah, inilah saat yang boleh mengelirukan kerana pegawai pentadbir anda tidak ada bersama untuk membimbing dan anda perlu mencari transport (atau tempat menunggu transport) untuk ke Muzdalifah. Itulah yang berlaku kepada kami. Apa yang saya lakukan, saya kerap berhubungan dengan pegawai pentadbir menerusi whatsapp sehinggakan beliau agak rimas dengan saya (oops LOL). Saya terpaksa lakukan begitu kerana saya perlukan perhatian beliau. Cara yang saya lakukan itu berhasil kerana kami menerima perhatiannya yang khusus dan pentadbir menjadi lebih sedar bahawa ini adalah kali pertama kami melakukan Haji DIY.
Pegawai pentadbir masyair kami membawa kami ke bas bertanda Maktab 55 dan kami selamat bergerak ke Muzdalifah. Bila saya kenangkan kembali sebenarnya, walaupun kita tidak ada pegawai, kita boleh naik mana-mana bas yang bertanda maktab kita (bagi kami adalah Maktab 55), kerana ia akan membawa kita ke tempat kita berhimpun di Muzdalifah dan Mina nanti. Malah ada beberapa bas yang akan datang setiap 15 minit untuk membawa semua Jemaah ke sana. Cuma jangan salah naik bas kerana nanti anda tidak dapat berhimpun di tempat yang sudah dikhususkan untuk anda. Banyak bas yang lalu dan berhenti namun semuanya ada tanda maktab masing-masing. Jadi perlu tengok betul-betul tanda di bas.
Di Muzdalifah
Di Muzdalifah kami perlu bermalam di sini. Prasarana di Muzdalifah lebih ringkas daripada Arafah. Tidak ada khemah namun ada tandas dan tempat mengambil wudhu.
Oleh kerana tanahnya agak panas & hangat, saya syorkan anda bawa selimut atau kain tebal sebagai alas kerana sukar jika anda ingin baring atau tidur sebentar untuk berehat. Di Muzdalifah terdapat juga beberapa karpet dan tikar yang ditinggalkan jemaah tahun sebelumnya namun banyak yang sudah koyak dan tidak boleh digunakan dengan baik. Saya dan anak saya menghabiskan masa mencari batu yang sesuai untuk dilontar.
Sebenarnya, jika kita lihat betul-betul ada beberapa anak-anak muda yang sedang menjaga beberapa guni yang disusun dengan cantik Muzdalifah. Pada mulanya saya tak tahu apakah yang mereka jaga, namun setelah mendekati mereka, rupanya mereka sudah siapkan beg-beg kecil penuh dengan batu-batu kecil cukup untuk 3 lontaran jamrah. Jadi, jika anda berada di Muzdalifah carilah anak-anak muda ini yang bersembang berdekatan dengan tempat edaran makanan atau luar tandas.
Ada jemaah yang melakukan solat berjemaah namun ramai yang bermalam seketika dan mula bergerak ke Mina.
Saya hanya ingin mengongsi waktu menunggu transport agak lama kerana bayangkan semua jemaah (mengikut maktab) ada di sana dan semua sedang menantikan transport masing-masing. Jadi bayangkan berapa lama kita beratur untuk naik bas. Saya syorkan bagi yang berusia dan tidak boleh berdiri lama, beli atau bawa kerusi kecil yang boleh dilipat (dan duduk) kerana saya melihat ramai jemaah yang tidak tahan berdiri kerana terlalu lama menunggu.
Di Muzdalifah, kawasan menunggu bas lebih teratur kerana ada tanda bagi setiap maktab. Jadi, carilah nombor maktab anda. Kami diberi maktab nombor 55 dan digalakkan menunggu bersama Jemaah dari maktab yang sama.
Perjalanan ke Mina
Ada beberapa perkara penting yang anda harus ambil perhatian di Mina, lebih-lebih lagi bagi jemaah yang melakukan Haji DIY:
1. Nombor maktab anda mungkin tidak sama dengan nombor khemah Mina. Oleh kerana terlalu banyak khemah yang disatukan mengikut negara, ada zon kawasan mungkin ditandakan dengan nombor maktab yang sama dengan lencana anda. Misalnya, nombor lencana saya 55, namun ada kawasan Jemaah daripada negara Eropah yang bertandakan Maktab 55 juga, tapi tidak bermakna itu maktab kita. Justeru, daripada Muzdalifah, kita MESTI ikut bas yang bertandakan maktab kita agar drebar bas menghantar kita ke Maktab di mana khemah kita sudah dikhususkan. Jika tidak, anda boleh hilang dan sesat jalan di kawasan. Nanti saya akan ceritakan kisah kami sesat jalan bila ingin kembali ke Mina dari Masjidil Haram. (ini tidak berlaku bagi mereka yang ikut agensi Haji kerana semuanya akan dibimbing dan diatur).
2. Bagi Jemaah Haji mujamalah (Haji DIY), bila tiba di Mina, khemah anda di dalam maktab yang disediakan adalah berlandaskan FIRST COME FIRST SERVE. Siapa yang datang dahulu boleh memilih khemah mana anda ingin dinginapi. Kerana, walaupun anda diletakkan di satu kawasan, tidak ada pegawai yang akan menghalang atau membimbing anda memilih khemah. Ini bermakna, anda bebas memilih di mana anda ingin duduk & bermalam. Oleh kerana saya dan anak saya bersama 2 lagi jemaah, kami memilih khemah yang kecil dan boleh menampung 4 orang Jemaah. Bukan apa, ada khemah yang lebih besar dan ini bermakna anda akan bersama 20 jemaah (atau lebih) yang lain. Bagi sesetengah jemaah, ini mungkin kurang selesa kerana mereka tidak bebas untuk salin pakaian/ihram. Saya melihat ramai jemaah yang datang lambat dan mereka terpaksa ambil khemah bersama ramai jemaah lain yang mereka tidak kenali. Ada khemah untuk 4 orang, 8 orang, 16 orang dan lebih 20 orang.
3. Di Mina, ada banyak tandas dan tempat mandi. Semua prasarana agak ringkas. Saya diajar supaya tidak mengatakan apa-apa kerana kita di sini untuk beribadah jadi jangan mengharapkan standard hotel 5 bintang ya. Hati-hati kerana kita masih perlu berpantang dalam ihram jadi jangan pula mandi dengan sabun yang ada wangian dan jaga pantang-pantang yang lain. Tanyalah asatizah anda sendiri di sini. Itu yang kami lakukan. Oleh kerana tiada mutawwif, kami sering berhubungan dengan Ustaz di tanahair dan pastikan kami jaga pantang berihram. Charger telefon bimbit tidak ada di khemah (pada waktu saya di sana) dan kami perlu keluar dan caj telefon berdekatan dengan pejabat pentadbir.
4. Edaran makanan terdapat di beberapa tempat di Mina. Di maktab kami saya lihat ada 2 tempat edaran makanan (bertanda kitchen). Jadi anda boleh ambil makanan di sana, malah banyak sangat makanan yang diedarkan. Gunakan lencana anda bila mengambil makanan.
Pada penghujung Haji, sebelum beredar dari Mina, saya sempat merakamkan kemudahan-kemudahan di dalam maktab-maktab Mina untuk anda.
5. Di Mina juga ada beberapa Masjid besar dan juga surau kecil di dalam setiap maktab. Saya melihat dalam setiap surau ada peti ais yang disi penuh dengan air botol yang sejuk. Anda boleh ambil air di situ.
Kami dapat tidur beberapa jam sebelum kami bangun malam untuk tahajjud dan kemudian subuh. Saya dan anak saya agak teruja kerana kami akan bergerak sebelah pagi untuk melontar jamrah Aqabah. Lontaran yang pertama dan inilah yang saya sedang fikirkan. Bukan apa, ghairah dapat melakukan lontaran jamrah Aqabah dan kami langsung tidak hiraukan perjalanan 7 kilometer yang harus kami tempuhi untuk ke sana. Oleh kerana maktab kami jauh daripada lontaran Jamrah, kami perlu jalan agak jauh lebih awal. Jika anda bertempat jauh, anda perlu bersedia dan bertahan. Namun, jangan risau, sepanjang jalan ada banyak water cooler yang boleh anda langgani. Saya dan anak saya menggunakan paying kerana cuaca agak panas dan ini membantu.
MasyaAllah buat pertama kali, sepanjang jalan, kami dapat melihat ratusan ribuan Jemaah yang berjalan pergi dan pulang daripada melontar jamrah. Oleh kerana ramainya jemaah (sejuta orang pada 2022), setiap maktab akan diberikan waktu mereka dibenarkan keluar daripada khemah mereka dan berjalan melontar jamrah agar dapat mengelakkan kesesakan di kawasan melontar. Saya minta anda patuhi perkara ini agar kumpulan anda selamat berkumpul nanti kerana di kawasan melontar boleh menjadi bahaya bila terlalu ramai di sana.
Sepanjang jalan kami tidak berjalan terlalu cepat kerana ingin menyimpan tenaga. Namun kami melihat segelintir jemaah yang berlari-lari anak sehingga sampai ke tempat melontar. Memang ada beberapa Jemaah yang sangat kuat tubuh badan mereka. Kami juga melihat beberapa Jemaah yang rebah kerana terlalu panas dan terlalu kurang air (heat exhaustion). Jadi berehatlah semasa berjalan dan minum air secukupnya. Ada tempat berteduh yang boleh kita rehat dibawahnya agar kita sihat sampai ke tempat lontar jamrah.
Kami baca talbiyah sepanjang jalan dan yakin Allah swt akan membantu kita dan beri kekuatan. Memang mencabar berjalan 7 kilometer pergi melontar dan kemudian 7 kilometer pulang ke khemah di Mina. Bagi Haji DIY menerusi visa mujamalah, kami tidak ditawarkan penginapan di Shisha yang berdekatan dengan tempat melontar jamrah. Jadi anda harus bersedia berjalan jauh ulang alik setiap kali melontar. (Secara terus terang, saya dan anak saya tidak merasakan ini sebagai hambatan kerana kami ingin sangat melakukan Haji dengan apa yang tersedia bagi kami.)
Setibanya kami berdekatan dengan bangunan melontar jamrah, saya dapati kami ada pilihan untuk mengambil beberapa jalan untuk melontar. Ada ke tingkat 1, 2 dan seterusnya. Kami mengambil keputusan naik bukit ke tingkat dua kerana lebih kurang jemaah yang naik ke sana. Saya cukup ghairah untuk melakukan lontaran yang pertama.
Bila tiba melakukan lontaran jamrah Aqabah, saya perhatikan, jika kita bersama orang-orang yang kita sayang, misalnya pasangan, orang tua atau anak, kita perlu sangat menjaga keselamatan mereka. Ini kerana terlalu banyak kali saya melihat sekumpulan jemaah yang kadang kala meluru masuk secara kumpulan dan boleh menolak jemaah perseorangan. Itu sebabnya, saya memeluk anak saya dan menjaganya agar beliau dapat lakukan lontaran dahulu kemudian saya menyusul. Alhamdulillah.
Tawaf Haji & Sa’i Haji
Setelah selesai melakukan jamrah Aqabah, kami membuat keputusan berjalan lagi untuk masuk ke kawasan Masjidil Haram melakukan tawaf dan sa’i Haji. Ini bermakna kami perlu berjalan kaki beberapa kilometers lagi sebelum sampai ke perkarangan Masjid.
Saya melakukan tahallul dahulu selepas melakukan jamrah Aqabah. Kemudian kami berjalan kaki ke Masjidil Haram; anak saya Qistina membantu seorang jemaah wanita, yang tidak kuat berjalan jauh di atas kerusi roda, masuk ke dalam Masjidil Haram. MasyaAllah bila saya tanya Qistina bagaimana beliau ada tenaga menolak sehingga ke kawasan Masjid, beliau menjawab, “Nana doa minta Allah berikan kekuatan. Tiba-tiba rasa macam ada banyak tenaga!” Subhanallah, memang doa kita di sana cepat diterima Allah ya.
Oleh kerana kami sudah berjalan jauh di bawah cuaca yang panas, bila saja nampak clock-tower Masjidil Haram, kami terasa sangat gembira kerana sudah berdekatan dengan Masjid. Kemudian bila dapat melihat Kaabah, tenaga kami mula naik lagi dan terasa berkobar-kobar melakukan tawaf.
Sebagai peringatan kepada yang akan melakukan tawaf, oleh kerana jumlah jemaah kini sudah meningkat, di sini kita perlu hati-hati dan perhatikan orang-orang di bawah jagaan kita. Kerana setelah sampai di Kaabah, ada yang mungkin memerlukan minuman dan rehat yang secukupnya. Bagi saya dan anak saya, kami pastikan minum air zam-zam dengan secukupnya agar tawaf kami boleh dilakukan dengan baik.
Keadaan di Sa’i agak berbeza sedikit. Kerana semasa melakukan sa’i Haji, tumit saya mula kering dan merkah, jadi saya berehat sebentar dan melakukan sa’i dengan kadar kelajuan yang saya mampu. Anak saya masih okay ketika itu. Namun Alhamdulillah kami selesai melakukan sa’i dan berjalan pulang ke hotel kami untuk menukar baju. Oleh kerana kami sudah tidak lagi berpantang ihram, kami sudah boleh mandi dan tukar baju dan menggunakan kasut yang lebih selesa.
Pulang ke Mina (boleh sesat jalan jika tidak tahu mencari kod maktab di khemah)
Oleh kerana kami tidak ditawarkan menetap di Shisha, kami perlu pulang ke Mina untuk bermalam di sana dan menyambung lontaran-lontaran jamrah untuk hari-hari yang seterusnya.
Perjalanan kembali ke Mina terlalu jauh jadi kami cuba naik teksi ke Mina. Namun teksi tidak dibenarkan masuk Mina, dan kami diturunkan diluar kawasan Mina. Ramai jemaah yang lain juga perlu jalan masuk sendirian dan di sinilah berlakunya sesat jalan oleh ribuan jemaah. Sistem mencari khemah agak luas dan tidak mudah untuk kita atasi jika kita tidak tahu cara dan sistemnya.
Saya akan cuba terangkan agar anda tidak sesat jalan di kawasan Mina kerana tempatnya terlalu besar dan bila anda sesat berjalan, sukar untuk mencari maktab & khemah anda. Saya dan anak saya sesat jalan selama 3 jam malam itu kerana hanya berpandukan nombor maktab 55 yang diberikan pegawai pentadbir.
Pertama sekali, ada ratusan pegawai Haji di sana yang berdiri di sepanjang jalan-jalan di Mina yang membawa peta khemah-khemah Mina dan mereka boleh membantu menunjukkan jalan.
Namun, bagi mereka yang tidak terjumpa pegawai-pegawai ini, saya syorkan anda jangan merujuk kepada nombor maktab anda sahaja kerana setiap zon di dalam Mina ada maktab yang bertandakan nombor yang sama. Jadi anda akan sesat jika berpandukan nombor maktab.
Anda perlu rujuk kepada nombor kod di tiang lampu sepanjang jalanraya di Mina. Setiap tiang lampu di Mina ada tertulis nombor kod (seperti postal code) yang boleh membawa anda ke khemah anda. Nombor kod ini juga ada tertulis di lencana anda di mana terletaknya khemah anda. Dengan itu ikut nombor kod di tiang lampu dan cari kod tiang lampu yang berdekatan khemah anda. Ini bermakna, bila anda pertama kali dating ke khemah anda, pastikan anda cari dan kenal kod yang tertulis di tiang lampu diluar pintu masuk khemah anda kerana nombor ini sangat-sangat penting dan boleh menjadi rujukan jika sesat di Mina.
Alhamdulillah, pada hari-hari seterusnya di Mina kami dapat berkenalan dengan Jemaah-jemaah lain dan melakukan lontaran-lontaran jamrah dengan selamat serta menyambut Hari Raya Haji yang sangat bermakna di sana. Hari Raya Haji dipenuhi dengan takbir sambil berjalan ulang alik melontar jamrah.
Perasaan dan emosi kami tidak dapat dibendung bila kami dapat melengkapkan Haji kami dengan lontaran jamrah yang terakhir. Memandangkan segala apa yang kami lalui sendiri, saya hanya dapat menangis kerana terlalu syukur kami dapat melakukan Haji kami dengan visa mujamalah yang diberikan menerusi kedutaan Arab Saudi. Hadiah Allah yang saya sangat-sangat kami hargai hinggalah hari ini. Terlalu banyak nikmat Allah yang Allah bagi semasa kami di sana dan doa kami, satu demi satu terkabul hinggalah hari ini. Subhanallah. Syukur syukur syukur kepada Allah.
Saya harap artikel ini membantu mereka yang sedang atau akan melakukan Haji menggunakan visa mujamalah. Jika anda rasa artikel ini bermanfaat, kongsilah kepada tetamu-tetamu Allah semoga perjalanan mereka lebih berinformasi.
Jemaah visa mujamalah yang ingin ke Madinah harus ambil passport daripada pejabat pentadbir dahulu. Proses ini agak lama kerana kita perlu naik teksi ke pejabat pentadbir. Sebelum pegawai pentadbir pulangkan passport kami, kami harus beritahu para pegawai di sana apa rancangan kami: samada mahu pulang ke tanahair atau mahu ke Madinah. Jika anda ingin ke Madinah anda perlu tunjukkan bukti yang anda sudah membeli tiket bullet traiun dan sudah ada hotel penginapan di Madinah. Barulah mereka serahkan passport anda. Inilah sistem mengambil passport di sana. Setelah anda ambil passport anda tidak dibenarkan lagi masuk ke Makkah setelah ke Madinah kerana visa anda adalah visa Haji. Namun anda juga boleh buat keputusan untuk duduk di Makkah sepanjang visa anda di sana.
Kami pilih untuk ke Madinah dan kami tempah hotel menerusi booking.com . Mudah melakukan secara online ketika itu kerana belum ramai yang bergerak ke Madinah.
In shaa Allah saya akan tulis pengalaman di Madinah pula satu hari nanti dengan terperinci. Setelah beberapa hari di Madinah kami pulang dan rasa bertuah dapat beli air zam-zam dengan harga yang sangat murah. Ini adalah kerana pihak Saudi memberi kelonggaran bagi semua Jemaah Haji untuk membeli air zam-zam dengan harga rendah. Hanya 1 botol besar setiap seorang Jemaah.
Sebagai penutup, saya hanya ingin mengongsi kepada mereka yang sedang menjalankan ibadah Haji, agar janganlah bersangka buruk kepada sesiapa lebih-lebih lagi kepada Allah. Kerana apa saja yang berlaku ada hikmahnya dan Allah sangat baik lagi Maha Pemurah.
Kami ingin ucapkan jutaan terima kasih kepada Kedutaan Arab Saudi yang banyak membantu kami dan pihak-pihak yang membantu kami sepanjang perjalanan ibadah Haji kami ini. Hanya Allah sahaja yang boleh membalas jasa anda semua.
Tahniah kepada yang terpilih menjadi Tetamu Allah! Kepada yang belum dijemput, jatuhkan niat dan terus berdoa, in shaa Allah anda akan ke sana.