Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah

Hari ini kita menyambut Tahun Baru Hijrah
Kita minta maaf dan maafkan yang silap serta salah
Yang sengaja, yang tidak sengaja, yang sudah tu sudah
Tanam semangat mengejar impian tanpa mengaku kalah

Sememangnya sukar untuk kita berpindah
Lebih-lebih lagi bila semuanya nampak mudah
Tetapi nasib kadang menjelma membuat keadaan berubah
Perlu hijrah, perlu pindah, perlu ubah

Nabi (SAW) hijrah bukan kerana takut atau lemah
Tetapi hijrah kerana mengikut perintah Allah

Hari ini panjatkan doa agar rezeki kita mencurah-curah
Sama-sama maju, sama-sama laju, sama-sama menerima falah

*falah - kebahagian, kesejahteraan, kemenangan, keberuntungan (dunia & akhirat)

Ketika bertemu orang lain

 

Bila saya bertemu seseorang yang baru saya kenali, saya lebih cenderung mendengar cerita dan kisah hidup mereka. 

Kerana kisah orang lain itu, kalau diamati, merupakan khabar yang penting bagi kita pada ketika itu. 

Kisah orang lain juga, tidak secara langsung, memberi makna kepada luasnya (atau sempitnya) pandangan kita terhadap kehidupan. 

Pada ketika kita bertemu seseorang di masa hadapan nanti, lebihkan mendengar dan bertanya. Dunia akan menjadi hamparan ilmu yang tiada batasan.