Wahai anakku, satu hari nanti akan ada teman lelaki yang ingin mendekatimu. Ada yang ingin menjadi kawan dan ada yang lebih dari itu. Ayah ingin memesanmu agar kau tahu menilai antara lelaki mana yang boleh kau jadikan jodoh dan yang mana tak usah kau heboh.
Wahai anakku, ada lelaki yang sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk menarik perhatianmu. Janganlah ini mengaburi matamu. Kerana hatimu tidak harus dijualbeli dengan intan berlian atau batu permata yang sekutu. Pilihlah lelaki yang sanggup bekerja keras sepanjang hayatmu untuk memberi yang terbaik kepada dirimu, anak-anakmu, cucu dan generasimu. Mereka tak perlu megah berbelanja besar sebelum majlis walimatulurus mu.
Wahai anakku, jika lelaki itu berkata dia sanggup melakukan apa saja untuk menambat hatimu, pesanlah dia supaya mencari di mana letaknya Qalbu Kitabmu itu. Kalau dia sanggup mencari makna di sebalik Kalimah Tuhanmu, hatimu akan sendirinya terpikat tanpa diseru.
Wahai anakku, jika ada lelaki yang sanggup meninggalkan waktu solatnya dengan alasan hanya ingin bersamamu, itu perlu diadu kepada diriku. Akanku terangkan kepadamu betapa kuatnya sabar dan usaha seorang lelaki yang memberi keutamaan kepada setiap waktu bertemu Penciptamu. Tiada yang lebih penting dari lima waktumu.
Wahai anakku, jika teman lelakimu dari mula lagi seorang yang digelar kaki pukul, angkat kakimu dan undur. Tak perlu timbang perkara ini kerana tangan yang ringan sungguh berat dipikul.
Kajilah di mana kau terserempak teman lelakimu... di tempat hiburan atau di majlis ilmu? Kededuanya ada kesan yang berbeza wahai anakku.
Wahai anakku, lelaki yang sayang kepadamu perlu juga sayang kepada si ibu. Jika dia sanggup mengenepikan ibunya hanya kerana cintanya kepadamu, maka dia akan satu hari nanti tidak menghormatimu. Tidakkah dia tahu kau kelak akan menjadi ibu membesarkan anak dipangkuanmu? Lihatlah akhlaknya depan si ibu. Jika dia sering memeluk dan mencium dahi si ibu, dia pasti mahu barakah yang serupa ke atas dirimu.
Wahai anakku, jika lelaki itu begitu ghairah bersamamu tetapi membeku di depan keluargamu, harus kau selidik mengapa dia begitu. Lelaki yang benar-benar menyayangimu pasti juga, secara semulajadi, menyayangi keluargamu. Kerana dia tahu hatimu menjadi satu bila dekat dengan saudaramu.
Wahai anakku, memang sukar mengetahui niat orang yang ingin mendekatimu. Hanya seperkara yang harus menjadi penghulu hatimu. Mintalah dan serahkanlah bulat-bulat perkara ini kepada Yang Satu. Akan terpandu langkahmu nanti untuk bertemu pasanganmu.
Cinta pertamamu, Ayahmu.