Warkah dari Ayah #4 - Sempena Hari Ayah

 

Wahai anakku, sempena hari ayah ini, ayah hanya ingin kalian baca warkah ini

Ayahmu ini kadang terasa penat berusaha tetapi ayah tetap suka

Kerana ingin membesarkan kalian dengan senyuman dan rasa bahagia

 

Wahai anakku, seorang ayah tidak akan mengaku dirinya lapar, 

Lebih-lebih lagi bila bersemuka makanan yang kau gemar

Walaupun hidangan itu terbentang, seorang ayah akan mengaku kenyang, walau terasa macam nak melayang 

Dibiarkan anaknya habiskan makanan, tiada dihalang, sehingga senyuman anaknya tertayang

Perhatikanlah, wahai anakku, selalunya seorang ayah tidak akan banyak komentar 

Bila kau sedih, dada seorang ayah bagai disimbar, harinya mula mendatar selagi senyumanmu tidak melebar

 

Jika kau ada masalah yang menyambar, tunggu sebentar

Ayah akan ikhtiar lalu semua yang sulit boleh dibubar

Kerana dia tidak gentar dengan cabaran yang dihantar, 

Malah dia menjadi pintar mencari iktibar lalu membawa khabar

Yang baik agar kau terus sabar 

Inilah, wahai anakku, naluri seorang ayah yang jarang dipapar

 

Wahai anakku, kadang seorang ayah menangis seorang diri 

Memikirkan masa depanmu yang belum dia ketahui 

Doanya tinggi, hanya penduduk langit menjadi saksi 

Tidak hairanlah matanya basah meminta agar anaknya dilindungi

Kadang bertubi-tubi, tanpa kau ketahui

 

Wahai anakku, sempena hari ayah ini, jangan sekali kau guriskan hati  

Kerana hati seorang ayah mudah sepi, walau hanya sedikit janji yang tidak ditepati

Terluka bila anak tiada menyambut kepulangannya setelah bekerja sepanjang hari

 

Namun hati yang luka seorang ayah cepat sembuh wahai anakku

Hanya perlu ingatan dan pelukan ikhlas darimu, lalu gugurlah segala yang sudah berlaku

 

Lagipun, seorang ayah mudah terlupa yang hatinya baru tadi terluka

Kerana ayah tidak menyimpan rasa sakit di dalam hati yang selalu terbuka

Bagaikan taman untuk anak-anaknya

Ikhlas dari,

Ayah