Anak saya pernah bertanya kenapa kadang-kadang saya menangis menonton video di YouTube atau di kaca tv.
Saya beritahu anak saya kita boleh (dan tak perlu malu) menangis bila menonton cerita yang menyayat hati.
Kerana tangisan itu tanda kebenaran. Kita boleh menangis bila terkesan melihat orang lain dianiaya. Atau bila hati kita terluka. Malah bila hati kita sendiri tersangat gembira, tanpa disedari, tangisan juga boleh menjelma.
Itu semua kerana kebenaran ada tersemat di dalam setiap tangisan.
Malah apabila diri kita yang sebenar berdoa merayu sesuatu yang benar-benar sesuai, tangisan akan dengan sukarela membuai.
Sebenarnya kita semua sukakan kebenaran. Itulah sebabnya tangisan dijadikan sebagai tanda amaran.
Jika ibu bapa, pasangan, anak-anak, teman atau kenalan kita yang sedang dalam tangisan, janganlah mereka dibiarkan. Layan dengan tujuan memberi bantuan. Kita juga akan terasa sayu berdepan dengan kebenaran di sebalik tangisan mereka yang lama tersimpan.