Sentuhan Kreativiti Orang Melayu Mantap.

Saya kenal Chef Norhalis semasa beliau menjadi pelakon sambilan dalam penerbitan sebuah iklan Zakat yang kami terbitkan pada awal tahun 2001. Kemudian kami tidak bertemu sehinggalah lewat minggu lalu - hampir 15 tahun lamanya! Awalnya, saya tidak tahu beliau ada minat dalam bidang kulinari.

Beliau mempunyai latarbelakang keluarga yang sangat mencabar tetapi beliau memilih untuk tidak berdiam diri dan mengejar impiannya. Hari ini beliau bukan saja seorang pensyarah tetapi juga seorang Chef yang sangat kreatif. Ini adalah antara yang beliau reka - ke semuanya berinspirasikan masakan Melayu.

Hari ini beliau bertugas di Restoran Mamanda dan sedang menghasilkan beberapa hidangan, roti dan pencuci mulut yang kreatif beserta barisan Chef lain di sana. Saya dapati semua hidangannya mempunyai kesegaran serta sentuhan kreativiti orang Melayu yang sangat mantap. Enak lagi. 

Inilah beberapa perkara yang Chef Norhalis kongsi semasa mengejar impiannya:

1. Jangan ikut-ikut kawan. Ikut arah kita sendiri bila mencari haluan. 

2. Berikan fokus yang teramat tinggi kerana setiap usaha terdapat banyak gangguan yang tidak diingini.

3. Rela tinggal di negeri orang dan menimba ilmu sehingga benar-benar matang.

Terimakasih kepada Chef Norhalis, Masmunah dan Restoran Mamanda kerana menyiapkan hidangan yang sangat enak semasa pertemuan kami di sana. 

Orang-orang Melayu sememangnya unik!