Memang betul, kita akan dapat apa yang kita niatkan

Malah, bila niat baik, kita dapat lebih.

Ketika usia saya 40 tahun, saya jatuhkan niat untuk melakukan sesuatu yang berbeza. Sejurus saya jatuhkan niat, saya ditemukan orang-orang yang boleh membantu mencapai niat dan matlamat saya. 10 tahun kemudian, saya dapati Allah berikan lebih daripada apa yang saya niatkan. Saya rasa penting saya catitkan perjalanan 10 tahun mendukung sebuah niat yang murni.

Ketika umur saya 30 tahun, saya memulakan syarikat ScreenBox bersama isteri saya. Niat kami untuk menerbitkan rancangan-rancangn televisyen yang bermutu. 10 tahun pertama, kami dapat menerbitkan rancangan serta dokumentari khusus untuk masyarakat Melayu/Islam di Singapura. Kemudian, kami mendapat peluang menerbitkan dokumentari Inggeris untuk saluran serantau Channel News Asia (CNA) - membuat kami syarikat penerbitan milik Melayu pertama menerbitkan untuk CNA. Kemudian dokumentari kami dapat diedarkan ke pasaran dunia. Kami mula menempa nama dengan memenangi 10 anugerah industri penerbitan - termasuk 5 anugerah antarabangsa dalam kecemerlangan dalam penerbitan dokumentari. Beberapa rancangan kami, seperti The Peddlers of Asia, Nadim, The Million-makers, diedarkan kepada 18 negara. Syukur kami dapat pendedahan seperti ini. Malah, kami juga ditemukan dengan projek yang membantu Singapura memecahkan Guiness World Records satu ketika dulu.

Namun 10 tahun kemudian, semasa usia saya mencapai 40 tahun, hati saya mula berbisik, “Kau dah diberikan kemahiran menerbitkan rancangan dokumentari antarabangsa sekian lama, apakata kau terbitkan rancangan berbentuk agama?” Bila hati saya berbisik sedemikian rupa, setiap malam saya asyik memikirkan tentang perkara itu dan setiap hari bisikan itu tidak lepas dari jadual harian saya.

Setelah beberapa hari memikirkan perkara itu, saya membuat keputusan dan mula jatuhkan niat saya - ok mari kita cari jalan bagaimana saya dan syarikat saya boleh menerbitkan rancangan berbentuk agama.

Terasa agak sukar pada mulanya kerana saya ada 3 cabaran:

  1. Ilmu agama saya sangat cetek

  2. Media sosial saya masih tersangat kecil - tiada wadah untuk saya siarkan kandungan agama

  3. Belum ada penaja yang boleh menyokong rancangan berbentuk agama

Bagaimana boleh saya terbitkan rancangan agama jika saya tiada ilmu agama, tiada wadah (di Singapura, kita belum ada saluran agama) dan tiada wang pelaburan untuk menerbitkan kandungan agama ini. Perlu ada sumber dan wang untuk kita terbitkan yang terbaik. Itu semua di dalam fikiran saya.

Namun, berikut adalah cara Allah membantu saya mengatasi 3 cabaran ini satu persatu dan ia memakan masa 10 tahun untuk melihat kesan bantuanNya yang menyeluruh.

ILMU AGAMA YANG CETEK

Bila niat saya sudah dijatuhkan, saya dapati saya mula bertemu asatizah. Sering sangat. Setiap asatizah yang saya temui membawa saya lebih dekat dengan cita-cita menerbitkan kandungan keagamaan. Misalnya Ustaz Shahib daripada Syukran.com

Sumber Gambar: Facebook Shahib

Sumber Gambar: Facebook Shahib

Ustaz Shahib merupakan asatizah pertama yang saya temui. Beliau lebih dulu mengolah kandungan agama secara online dan di media sosial. Sebelum saya menghasilkan kandungan secara online, beliau sudah terlebih dahulu melakukannya. Beliau berkongsi cara dan siapa golongan penonton sasaran di alam maya bagi kandungan dakwah. Beliau juga menjelaskan kurangnya bahan agama berbentuk video 10 tahun yang lalu. Menerusi Ustaz Shahib, saya mendapat gambaran pertama bagaimana kita boleh menghangatkan penerbitan video untuk tujuan ini.

Kemudian saya bertemu Ustaz Don, Ustaz Hasbi (President Persatuan Guru-guru agama Singapura), Habib Hassan (Imam Ba’alwie), Mantan Mufti-mufti Negara Singapura, Ustaz Zahid, Ustaz Irwan, Ustaz Mizi dan banyak lagi asatisah-asatizah tempatan dan di luar negeri. Di luar negeri saya ditemukan dengan Mufti negara Korea serta para Imam masjid di Xian (Cina), Ephesus (Turkey), Fiji dan banyak lagi.

Menerusi setiap pertemuan bersama asatizah, ia menginspirasikan saya mengolah vlog bersama mereka. Setiap vlog menjadi viral dan ia menemukan saya kepada lebih ramai lagi asatizah. Para asatizah juga membuka mata saya kepada arah dan topik yang boleh saya paparkan untuk kandungan yang saya inginkan.

MEDIA SOSIAL SAYA MASIH KECIL UNTUK SEBAR KANDUNGAN DAKWAH

Cara Allah membawa kita ke destinasi memang sangat halus dan terbaik. Bila saya renungkan bagaimana saya kembangkan jaringan media sosial saya, terfikir sejenak bagaimana saya tergerak memberi tumpuan kepada wadah ini. Jika perniagaan menerbitkan kandungan di televisyen tidak terjejas, tidak mungkin saya akan ke sosial media. Selagi kita tidak terhantuk, kita tidak akan sedar. Ini adalah resmi manusia dan saya tidak terkecuali. Bila perniagaan kandungan TV terjejas dengan teruk, saya beritahu isteri saya bahawa kita mesti melakukan sesuatu. Jika tiada projek TV dan bagaimana kita mampu membayar gaji pekerja dan mencari rezeki?

Langkah pertama, saya mula berjinak-jinak membuat vlog bersama ibu saya, asatizah dan mencari kisah menarik untuk dipaparkan. Tidak disangka, hampir semua vlog saya disokong masyarakat. MasyaAllah. Ada vlog yang menjana 7 juta jangkauan tontonan di rantau ini. Bila itu berlaku, facebook saya yang dulunya hanya 2000 follower, ia meningkat ke 30,000, kemudian 60,000 kemudian 100,000 follower setelah 18 bulan menghasilkan vlog. Hari ini saya ada sekitar 244,000 follower di facebook. Alhamdulillah.

Antara kandungan yang membantu melebarkan media sosial saya adalah kandungan nasihat daripada ibu saya serta masakannya. Ibu saya sering mendoakan kejayaan saya di media sosial - beliau tahu dan memahami saya berpindah wadah untuk menyambung perniagaan serta menghasilkan bahan-bahan keagamaan. Kemudian kisah-kisah inspirasi orang-orang yang saya temui juga sangat membantu. Tidak lupa juga, kandungan vlog pendek bersama asatizah memberi ruang untuk wadah saya dikenali sebagai wadah berinformasi.

Semua bahan-bahan viral saling membantu saya mencapai matlamat menghasilkan bahan dakwah yang ada kena mengena dengan agama Islam kita. Secara perlahan saya mula dapat berdakwah menerusi para asatizah yang lebih arif dengan menggunakan wadah media sosial saya yang kini lebih berkesan berbanding dahulu. Bayangkan setiap bulan kandungan facebook saya mencapai 1.7 hingga 3 juta orang (people reached). Ini membuat wadah ini boleh menyebarkan informasi dan kisah-kisah yang berlandaskan dakwah.

BELUM ADA PENAJA YANG BOLEH MENYOKONG RANCANGAN BERBENTUK AGAMA

Bila saya baru-baru menginginkan bahan dakwah dalam wadah saya ini, saya tidak ada sokongan daripada sebarang penaja. Maklumlah, media sosial saya masih kecil dan sebarannya juga terhad. Saya memahami keadaan itu. Namun bila jumlah follower facebook saya mula meningkat, pihak penaja mula hadir.

Bayangkan, dengan tidak disangka-sangka, ada insan yang sudi memberi sokongan dana untuk saya terbitkan rancangan dakwah saya yang pertama iaitu Assalamualaikum Semua.

Orang ini tidak mahu diketahui namun sokongan dananya cukup untuk kami menyewa beberapa camera dan crew serta pasukan penerbitan dan menyewa tempat untuk rancangan dakwah ini dirakamkan. Rancangan ini terus mendapat sokongan daripada pihak-pihak lain seperti Sakinah Institute dan Muis yang ingin bekerjasama.

Setelah itu berlaku, saya mula menerima tempahan daripada Madrasah, Muslim.sg, PERGAS dan banyak lagi pihak yang ingin kami terbitkan video-video agama untuk mereka. Antara acara agama yang terbesar yang pernah kami terbitkan pada waktu itu adalah BICARA MUFTI.

Malah, ada sesetengah kandungan yang kami terbitkan tidak disiarkan di media sosial saya, tetapi di wadah pelanggan-pelanggan kami. Sokongan-sokongan ini membuat kami mampu menubuhkan sebuah live-streaming studio di Wisma Geylang Serai. Alhamdulillah.

Ramadan lalu kami menerima tempahan daripada pihak MUIS (Majlis Ugama Islam Singapura) untuk menghasilkan berbagai video untuk wadah dakwah SALAMSG TV. Sekali lagi, Alhamdulillah.

Kemudian acara kemuncak yang sangat teruja kami terbitkan adalah SINGAPURA BERTAKBIR & KHUTBAH RAYA di hujung Ramadan. Syukur.

Di sini kita dapat lihat bagaimana Allah membantu saya membuka peluang dan jalan untuk mencapai niat saya menghasilkan kandungan berkaitan agama. Perjalanan ini belum selesai, namun ia mengesahkan beberapa perkara:

  1. Ada antara doa dan niat kita memerlukan masa untuk dicapai kerana banyak perkara harus berlaku dahulu sebelum niat kita menjadi nyata. Jangan cepat berputus asa bila niat kita masih belum menjadi.

  2. Niat murni juga ada cabaran untuk menguji kita - samada kita benar-benar menginginkannya. Jika kita sungguh-sungguh, Allah akan membantu.

  3. Pertolongan yang tidak disangka-sangka boleh berlaku dan semuanya datang dari Allah swt. Kita tidak perlu risau dan khuatir. Teruskan niat baik kita.

  4. Niat murni kita mungkin kecil, namun Allah boleh luaskan sehingga tahap yang kita tidak dapat fikirkan.

  5. Apa saja yang kita lalui, walaupun tidak dijangka, bukanlah perkara kebetulan - semuanya aturan Allah untuk membawa kita ke destinasi sebenar. Kita perlu awas dan menyahutnya dengan baik.

Jangan remehkan niat murni kita dan terus memberi tumpuan walau ia nampak sukar pada mulanya. Saya diajar para asatizah, bahawa jika kita niat lalu melafaskan Bismillah atas niat kita, Allah boleh mengubah dunia untuk kita berjaya dan mencapai apa yang kita diniatkan. Allah tidak pernah salah mendidik kita serta membuat kita lalui segala pengalaman untuk membantu niat murni kita. Semuanya tidak mustahil bila kita mendampingkan segala niat kita dengan keyakinan kepada Allah swt.

Allah ada.