Adakah anda sedang melalui saat-saat penuh dugaan - dalam perniagaan atau kehidupan? Selalukah anda terlalu rasa tertekan bila menghadapi masalah? Sebenarnya ada jalan yang mudah untuk kita mengatasi semua ini.
Saya juga tidak terkecuali dalam melalui masa-masa yang mencabar. Bila saja saya ada masalah, tak kiralah masalah perniagaan, keluarga, kewangan atau sebagainya, inilah langkah-langkah yang saya ambil:
1. Mengadu dengan Allah.
Kalau boleh, buatlah selepas setiap waktu solat. Adukan apa saja. Ia sungguh menenangkan. Allah suka dan Maha Mendengar semua aduan hambaNya. Dan Allah sahaja yang dapat membantu menghilangkan masalah kita.
2. Berunding dengan pasangan
Saya dapati bila kita berbincang dengan pasangan (atau rakan niaga atau mereka yang anda cintai serta percayai) segala masalah boleh mendekati huraiannya. Walaupun huraian itu mungkin tidak dapat menyelesaikan serta merta, kita boleh mencapai susunan langkah yang perlu diambil untuk penyelesaian jangka panjang. Selalunya, saya rasa begitu ghairah menyelesaikan masalah setelah berbincang dengan pasangan hidup saya (beliau juga rakan kongsi niaga saya).
3. Setelah jalan keluar dibincangkan, dapatkan restu ibu.
Bermakna, minta doa ibu. Doa ibu lebih dekat dengan Allah. Telefon atau berjumpa dengan ibu dan langsung katakan anda ada masalah. Ibu mana yang tidak akan mendoakan anak. Dan selalunya, ibu anda akan tahu apa yang perlu dinasihatkan. Doa ibu ke atas anaknya makbul.
4. Usaha terus menerus & jangan putus asa.
Setelah anda aturkan segala langkah untuk menyelesaikan masalah dan setelah mendapat sokongan pasangan anda, serta doa ibu, usahalah dengan sungguh-sungguh untuk melaksanakannya. Jangan rasa gementar, atau rasa ingin putus asa. Terus lakukan dan In Shaa Allah, kesudahannya menanti.
5. Berserah 100%
Setelah anda lakukan yang terbaik, serahkanlah semuanya bulat-bulat kepada Allah. Allah suka hambaNya menyerahkan kembali masalah dan segala urusan kepadaNya. Terus berdoa dan mengharap 100% kepadaNya.
Kesimpulannya, janganlah menghadapi masalah anda secara perseorangan. Itu akan memberatkan diri anda. Kongsilah masalah anda.
Saya doakan anda dikeluarkan daripada jalan buntu. Amin.