Perbincangan meletakkan takbir di stesen TV Melayu Singapura, Suria, menjadi saranan hangat segelintir pengguna di media sosial. Sebab utama permintaan ini diusulkan beberapa warga media sosial yang menginginkan agar warga emas, yang tidak berada di alam maya, turut sama mendengar/melihat takbir raya nanti. Walaupun tujuan ini sangat murni, ia mungkin menghasilkan genre kandungan agama yang boleh menjadi bahan rebutan tajaan swasta dalam jangka masa panjang dan jika ini berlaku, ia boleh membawa kepada sesuatu yang kita tidak inginkan. Izinkan saya menjelaskan perkara ini.
Ini adalah pendapat peribadi saya. Seperti yang anda tahu saya pernah menjadi pengurus saluran Melayu selama beberapa tahun di Singapura – sebelum ia menjadi Saluran Suria. Dari dulu, Akta Penyiaran tidak membenarkan kandungan agama (bukan agama kita sahaja) berada di kaca TV. Banyak sebabnya. Tetapi saya akan terangkan salah satu kesan yang saya sendiri rumuskan mungkin berlaku jika kandungan pelbagai agama dibenarkan di kaca TV.
Dalam pengurusan kandungan di kaca TV (free-to-air channel), dan perkara ini harus kita sedari, bila sebuah genre rancangan menjadi popular (ratings-nya tinggi) dan hangat permintaannya, ia akan, secara semulajadi, menarik perhatian pihak penaja. Penaja yang banyak wang akan menaja rancangan yang popular ini kerana inginkan jumlah tontonan yang ramai supaya iklan TV berkaitan produknya atau “messaging” yang akan disiarkan dalam rancangan itu juga mendapat tontonan ramai. Itulah sebabnya suatu ketika dahulu, rancangan memasak di kaca TV menjadi popular dengan adanya para penaja kerana ramai yang menonton rancangan memasak. Malah, rancangan memasaklah yang memonopolikan siaran di saluran Suria suatu ketika dulu kerana ia merupakan sesuatu yang profitable (menguntungkan) bagi pihak TV. Keadaan ini menjadi-jadi dan ada pihak penaja yang sanggup membayar kos penerbitan agar produk mereka menjadi tumpuan dalam rancangan itu.
Berkaitan dengan takbir dan bahan agama yang diusulkan sesetengah pengguna untuk dibawa ke kaca TV, kandungan genre agama ini juga akan melalui permintaan dan akan berada di ‘gelanggang’ pihak para penaja swasta di masa depan nanti.
Tidakkah perkara itu baik bila rancangan agama ada penaja di kaca TV? Memang baik jika kita hanya ada satu agama saja di Singapura. Hakikatnya kita ada pelbagai agama di sini dan ia boleh mencetus rebutan genre agama di kaca TV oleh pihak penaja hanya kerana inginkan ramai penonton. Seperti yang kita tahu, kandungan agama sangat popular – tidak kira agama – semuanya menjadi tontonan kaum yang menganut agama itu.
Sekarang mari kita amati saluran free-to-air mana yang paling kuat penajanya di Singapura. Seperti yang kita sudah tahu, sokongan penaja yang paling kuat adalah di Saluran 8 (Channel 8; saluran yang berbahasa Mandarin) dan Saluran Channel News Asia kemudian saluran 5 (Channel 5) dan, mungkin, saluran etnik Melayu, Suria. Mengapa Channel 8 mendapat sokongan penaja yang kuat dan konsisten? Kerana jumlah penontonnya sangat ramai di Singapura (mereka merupakan golongan tontonan majoriti di Singapura). Berganda-ganda penonton berbanding Saluran Suria. Jika satu hari pihak berkuasa membenarkan genre agama disiarkan di kaca TV, ia akan membenarkan semua agama ke udara, bukan agama Islam sahaja. Jika ini berlaku, kita harus tahu semua pihak stesen TV, yang bermotif mencari penaja, mula akan menumpukan perhatian kepada kandungan atau rancangan agama mana yang boleh membawa keuntungan dan menarik penaja yang mempunyai ‘spending power’ dari segi ‘advertising dollars’. Secara terus terang, walaupun pada mulanya ia kelihatan seperti sebuah perkara yang murni meletakkan kandungan agama di saluran Melayu Suria, namun mari kita fikirkan kesan kejar-mengejar penaja yang akan berlaku nanti. Saluran mana (dan agama mana) yang akan dapat tajaan yang kuat daripada pihak swasta. Dan sama seperti genre masak, genre agama akan memonopolikan semua saluran di Singapura kerana penaja tahu itulah tumpuan masyarakat. Dan jika sebuah agama saja yang mendapat sokongan penaja yang kuat di udara, apa hal dengan agama kita?
Ingat tak suatu ketika dahulu bila pihak radio menjual ‘advertising spot’ hangat sewaktu Ramadan. Ramai penaja akan meletakkan iklan mereka sebelum tazkirah berbuka puasa kerana itulah saat ramai pendengar akan mendengar radio. Namun pada satu tahun, kami terdengar sebuah iklan keudarakan selepas tazkirah dan sebelumnya memainkan azan. Ramai yang terperanjat kerana selalunya selepas tazkirah akan berlangsung azan. Namun pada hari itu, iklan dimainkan sebelum azan berlaung. Ini menerima reaksi negatif masyarakat kerana waktu itu dikira tidak sesuai meletakkan iklan. Samada tujuan pihak radio melakukannya kerana ingin keuntungan lebih pada waktu itu masih menjadi tanda tanya, namun ia berlaku dan pihak penaja sudah dapat merangkak masuk ke celah-celah kandungan agama pada ketika itu kerana ramai yang mendengar. Selepas hari itu, iklan tidak lagi dimainkan sejurus selepas tazkirah berbuka.
Itulah sebabnya di bawah Akta Penyiaran di Singapura ia mengadakan rang undang-undang yang memastikan semua kandungan yang disiarkan di Singapura tidak menjejas keharmonian kaum dan agama di negara ini. Tidak hairan apa saja perubahan yang ingin diusulkan , ia perlu melalui pertimbangan yang teliti dari semua pihak. Ini adalah perkara yang sangat sensitif dan banyak kesan dan kesudahan yang boleh timbul jika pihak berkuasa mengambil langkah mudah untuk membenarkan genre agama di kaca TV khususnya saluran “free- to- air”. (Jika anda mencari saluran agama satelit di alam maya, jangan terperanjat jika terdapat lebih banyak siaran sesebuah agama, yang mempunyai sumber kewangan yang besar menguasai jumlah stesen-stesen satelit dan IPTV.)
Dewasa ini saya suka melihat banyaknya kandungan agama di alam maya kerana ia boleh menjangkau lebih ramai tontonan berbanding TV. Dalam hal warga emas yang mungkin agak sukar mendapatkan kandungan online, kita kini sudah boleh menyiarkan bahan agama kita daripada Facebook dan Youtube ke kaca TV – semuanya dengan teknologi dan kita boleh membantu warga dan keluarga emas kita sendiri. Ada jalan keluar. Lagipun selain takbir beramai-ramai Singapura Bertakbir, yang pihak ScreenBox akan terbitkan untuk Majlis Ugama Islam Singapura pada malam 23 Mei nanti, kita juga masih ada pihak radio Warna yang akan menyiarkan takbir.
Mungkin sudah tiba masanya kita membantu ibu bapa kita dan warga emas kita mencari dan menonton kandungan di alam maya. Itu tugas dan peranan kita yang muda.
Walaupun pada dasarnya, ramai yang mempunyai pandangan bahawa TV merupakan medium atau wadah paling baik untuk mendapatkan lebih ramai penonton, saya ingin mengalakkan kita memahami beberapa perkara berikut :
1. Hakikatnya, jumlah tontonan TV sudah menjunam kerana penggunaan media sosial yang lebih berkesan. Warga emas seperti ibu saya sudah mula menonton dan mengolah kandungan di facebook dan youtube. Ini adalah arus perubahan yang tidak boleh dielakkan lagi.
2. TV is a sponsors’ game. Hati-hati dalam hal ini. Jika masyarakat kita belum kuat menerima sokongan penaja, usah mengusulkan perkara ini. Kerana buat ketika ini, sokongan penaja kepada rancangan Melayu di kaca TV tidak kuat dan semakin menurun. Agama kita tidak akan mendapat perhatian yang diinginkan kelak.
Tambahan pula bila kita ingin mengusulkan Takbir untuk dibawa ke kaca TV, saya melihat ada yang keterlaluan dengan cara mereka menengahkan perkara ini sehingga mengeluarkan kata-kata kesat (dan cacian) kepada pihak-pihak tertentu. Oleh kerana makna dan sesi Takbir adalah memuji Allah atas kemenangan kita berpuasa sebulan, janganlah kita mengeji manusia dalam hal ini. Hanya kerana kita inginkan sesi takbir memuji Allah, kita mula mengeji orang lain – perkara ini tidak selari dan tidak seharusnya begitu. Ada cara kita usulkan cadangan-cadangan kita secara teratur:
a) Pertama kita boleh langsung menulis kepada IMDA (Infocomm Media Development Authority) dengan tenang dan berikan butiran mengapa ini perlukan masyarakat.
b) Kita juga boleh memberikan pendapat kita ke The Malay Programmes Advisory Committee (Malay PAC) yang memantau dan memberikan pendapat ke atas kandungan-kandungan di Stesen Televisyen Melayu, Suria.
Serahkan kepada pihak-pihak tertentu membincangkan hal ini dengan terperinci.
Saya mengharap bila kita bertakbir bersama keluarga nanti, kita dapat menyerapkan Kata-Kata Pujian Takbir ke dalam diri kita dan mendapat kemenangan yang sebenar Syawal nanti. In shaa Allah