Bila saya ke Jakarta semalam, seorang lelaki waras dan lebih tua mula berbual dengan saya di dalam kapalterbang. Entah mengapa topik perbualan kita begitu rancak. Daripada hal politik, anak-anak, bisnes dan banyak lagi. Langsung tak perasan 1 jam 45 minit sudah berlalu.
Antara yang beliau kongsi adalah konsep mencari rezeki. Beliau mengatakan ramai orang sentiasa berdoa dan mengharapkan rezeki yang banyak. Tetapi usahanya tidak sebanyak doanya. Lalu tidak bisa ketemu, katanya. Beliau menambah, “jika tidak ditanam, maka mana bisa tumbuh.” Maksudnya, jika inginkan sesuatu, harus mahu melakukan sesuatu. Mengharap secara berdiam diri tidak akan menghasilkan apa-apa. Konsep mengharap itu harus diiringi usaha.
Ini sememangnya “common sense” ya tetapi malangnya ia bukan “common practise”. Jadi jika kita mengharap rezeki setinggi gunung, adakah usaha kita juga bagaikan setinggi gunung? Saya yakin Allah Yang Maha Esa akan memberi ganjaran yang luarbiasa kepada sesiapa saja yang sanggup melakukan usaha yang lebih dari biasa.
Di hujung perbualan kami saya dapati orang yang saya temui ini adalah tauke besar yang berasal dari Riau. Beliau sudahpun berjaya menghasilkan sebuah perniagaan dan tinggal di rumah yang agak mahal di Singapura. Cara beliau mengurus perniagaan, keluarga dan percakapannya agak halus tetapi berkesan.
Bila saya tanyakan bagaimana beliau menyelesaikan masalah anak-anaknya yang suka bergaduh, beliau berkata, “Kita mesti selalu membuat anak kita berfikir atas segala apa yang mereka lakukan. Misalnya, pernah sekali anak saya yang lebih dewasa merasa tidak senang dengan adiknya yang agak kecil. Adiknya sering menganggunya. Dengan tenang saya beritahu anak saya yang dewasa – cuba kamu fikirkan, seekor harimau yang ganas boleh dibela menjadi binatang permainan sarkis, inikan pula anak yang kecil. Sudah tentu boleh diajar dan dipimpin. Setelah mendengar perumpamaan itu, anak saya yang dewasa terus mencari jalan untuk memimpin adiknya yang tidak pernah beliau awasi.”
Begitulah perwatakan orang yang saya temui baru-baru ini. Saya berharap saya dapat bertemu dengan lebih ramai peniaga yang sudi berkongsi pengetahuan. InsyaAllah.
Sampai kita jumpa lagi.