Lama dah orang tegur saya mengenai rambut putih saya ni. Ada yang kata “Apa dah jadi Sujimy?!”.. ada yang kata saya banyak fikiran… Biasalah, umur meningkat rambut mestilah ada yang putih.
Saya ni sebenarnya kalah rambut lah. Sejak umur saya 30 tahun, rambut putih saya sudah mula tumbuh. Saya tak kisah sangat pasal rambut putih ni, kerana ia betul-betul membawa rahmat…. Betul, betul. Sewaktu saya mula-mula tubuhkan perniagaan, ada sesetengah pelanggan bertanyakan berapa umur saya. Kerana mereka rasa saya masih hijau dan terlalu muda untuk menguruskan perniagaan.
Hari ini, lain halnya. Bila saya masuk bilik mesyuarat dan bertemu dengan pelanggan-pelanggan baru, semuanya tidak lagi was-was dengan pengalaman saya. Hanya kerana (you guessed it!) – rambut putih saya! Tak ke rahmat namanya tu!
Tempoh hari, ada rakan kerja saya berikan saya sebungkus inai supaya saya mewarnakan rambut saya. Emmmm bukan saya tak mahu, saya lebih suka melihat rambut putih saya ni. Tiap kali saya merenungnya, ia bagaikan mengingatkan saya supaya lebihkan kerja-kerja yang bermanfaat dan tinggalkan yang tidak berfaedah.
Cuma yang lucunya ada yang menyangka bukan-bukan…Baru tempoh hari bapa mertua saya menyampaikan pesan bahawa rakan gurunya mengatakan paras rupa saya macam ada masalah?! Wow macam-macam sangkaan orang eh.
Hmm semua orang ada masalah. Saya tidak terkecuali. Tetapi jangan salah sangka dan jangan terlalu memandang pada keadaan seseorang itu hanya kerana paras rupa dia yang mungkin tengah stress… atau rambut dia mula putih, mungkin pada masa tu saya kelam kabut nak habiskan kerja saya jadi muka dah stress… tak ada apa yang perlu dikhuatirkan sebenarnya.
Dan saya sudah bertemu terlalu ramai orang yang menyuruh saya mewarnakan rambut saya ni. Kadang-kala saya ya kan sahaja kerana kalau nak jelaskan alasan sebenar saya menyimpan rambut putih ni, meluat pulak orang dengar ya tak?
Saya juga ada mendengar seorang kawan yang mengatakan rambut putih ni sebenarnya Mutiara Syurga… wow, boleh jadi tu kalau kita ada niat yang baik.
Jadi saya harap jika anda bertemu saya diluar, tak usahlah terperanjat dengan rambut putih saya, atau lebih baik lagi, janganlah kesian atau menyangka apa-apa eh. Saya suka rambut ni.
Amacam, ada orang lain yang suka dengan rambut putih mereka?