Adakah menguntungkan jika kita menerbitkan filem Melayu di Singapura?

Terima kasih atas maklumbalas anda dan saranan tentang topik yang boleh saya catatkan di blog saya ini. Saya mulakan dengan topik ini kerana ia merupakan pilihan anda di blog dan FB page saya.

Ia juga agak sesuai kerana kelmarin - Jumaat, 4 May 2012 - pihak MDA (Penguasa Pembangunan Media) di Singapura melancarkan New Talent Feature Grant di mana ia mengundang mereka (first-time film makers) yang berminat untuk menerbitkan sebuah filem. Ia menyediakan dana khusus untuk bakat baru.

Persoalannya: Adakah boleh kita 'hidup' dengan menerbitkan filem di Singapura dan adakah ia menguntungkan secara komersil?

Sebenarnya sudah hampir 4 tahun saya menjalankan kajian mengenai keberuntungan menerbitkan filem di Singapura. Saya membuat kajian dengan bertemu seberapa banyak syarikat penerbitan filem di rantau ini serta pemilik panggung dan bertanyakan tentang pembangunan dan tren pembikinan filem. Rujukan ini penting bagi saya kerana jika kita ingin menerbitkan filem, ia tidak lengkap jika filem itu merupakan karya seni sahaja. Ia mestilah juga menjadi karya berbentuk niaga. Jika ia tertumpu kepada karya seni sahaja, produk yang kita hasilkan itu tidak boleh bersambung 'nyawa' nanti.

Ganyut - Telemovie ScreenBox

Sekitar tahun 2005 hingga 2008, pasaran telemovie dalam wadah VCD/DVD cukup mengalakkan di Singapura. Malah telemovie terbitan syarikat ScreenBox, Ganyut, misalnya, telah mencapai penjualan lebih 13,000 keping di bulan Ramadan sahaja. Terdapat juga telemovie syarikat lain yang boleh mencecah 18,000 penjualan di Singapura sahaja.

Tetapi lama-kelamaan penjualan DVD merosot dengan banyaknya atas kegiatan cetak-rompak. Dan banyak lagi yang dimuat-turunkan dari internet. Ini sangat menjejas penjualan DVD dan sekaligus penerbitan telemovie. Ramai penerbit yang menghentikan penerbitan telemovie kerana tidak mahu hasil penat-lelah mereka dicetak-rompak.

Pasaran DVD diburukkan lagi selepas krisis kewangan tahun 2009 di mana permintaan pembeli menjunam bagi produk-produk sebegini. Banyak toko video yang mengedar dan menjual DVD tutup. Antaranya seperti Sembawang Music Centre.

Toko video lain seperti EZ Video dan Gramaphone juga menguncupkan jumlah toko mereka untuk mengatasi permintaan yang rendah. Saya juga turut menghentikan toko DVD (GilaMovies) saya kerana tidak mahu terus menanggung kerugian. Sehingga hari ini, pasaran DVD terus menjunam dan tidak dapat kembali seperti dulu.

Industri Penontonan Pawagam Malaysia

Tetapi lain keadaannya bagi pasaran filem. Di Malaysia misalnya, jumlah  penontonan pawagam dan kutipan kasar meningkat semenjak 2005. Sila rujuk data yang diberikan oleh FINAS ini.

Permintaan meningkat dan ini menyebabkan jumlah penerbitan filem juga turut meningkat. Tahun 2011 misalnya, kutipan Box Office di Malaysia adalah yang tertinggi di Asia Tenggara. Ini menunjukkan permintaan filem Melayu cukup hangat di Malaysia.

Peningkatan dalam pasaran filem di Malaysia juga menyebabkan peningkatan dalam tenaga kerja penerbitan - lebih banyak permintaan pengarah, penerbit dan kru di sana. Tidak hairanlah jika pengarah seperti Faisal Ishak dari Singapura berhijrah ke sana kerana ada tempat bagi individu yang berbakat ini. Begitu juga dengan barisan pelakon yang meningkat. Ada lebih banyak peluang di sana.

Tren ini akan terus meningkat selagi permintaan penonton filem kuat menyokongnya. Ia juga dirancakkan lagi kerana polisi 'wajib tayang' di sana. Polisi ini amat melindungi dan merangsang filem buatan Malaysia. Kutipan wang bagi filem dirancakkan lagi dengan wadah seperti Astro First yang berkongsi keuntungan 'On Demand' filem dengan penerbit di sana.

 

Tetapi adakah keadaannya sama bagi filem Melayu di Singapura?

David Teo

David Teo

Bila kami bertemu David Teo, Pengarah Urusan Metrowealth Pictures Group (MIG), beliau ada mengatakan filem terbaiknya hanya dapat mengumpulkan $500,000 dolar Singapura bila ditayangkan di kota Singa berbanding jutaan ringgit di Malaysia. Sudah tentu kutipan pawagam berbeza kerana saiz pasaran antara dua negara ini juga berbeza. Tetapi apa yang ketara adalah perbezaan ini memberi ruang untuk kita mengorak strategi yang berkesan. Saya akan jelaskan strategi ini selanjutnya di bawah nanti.

Tetapi apabila ditanya samada adakah jumlah kutipan ini (500 ribu dolar Singapura) memadai? Menurut David Teo, pasaran Singapura adalah bonus baginya. Jadi apa sahaja jumlah kutipan menjadi wang tambahan untuk perniagaanya. Kerana filemnya sudahpun membawa untung di Malaysia sebelum itu.

Bagaimana pula jika penerbit Singapura yang menghasilkan filem dan mendapat kutipan yang serupa i.e. SGD500,000? Adakah ia membawa untung? Kita mesti buat kiraan dahulu.

Kutipan sebegini belum tentu mencukupi untuk membuat untung yang lumayan kerana jika Singapura menjadi pasaran utama, jumlah kutipan itu belum dapat menandingi kos penerbitan. Biar saya jelaskan dengan kiraan yang ringkas ini:

  • Kos penerbitan bagi filem biasa, sekitar = SGD250000

  • Jumlah kutipan = SGD500,000

  • Keuntungan selepas dikongsi sekitar 50% kepada pemilik pawagam = SGD250,000

  • Keuntungan selepas menolak kos pemasaran (anggaran SGD50,000) = SGD200,000

  • Keuntungan selepas menolak kos penerbitan (SGD250,000) = - SGD50,000

Jelas kelihatan kerugiannya. Itupun jika kita dapat mengutip SGD500 ribu seperti filem terbaik David Teo di sini. Itupun saya belum menolak kos-kos seperti pencetakan filem untuk semua pawagam.

Adakah ini bermakna kita tidak harus menerbitkan filem di sini? Oh tidak.

Kita mesti menerbitkan filem Melayu tetapi sasaran pasaran bukanlah di Singapura sahaja. Filem yang kita terbitkan itu mesti menjadi tontonan utama di Malaysia, Indonesia dan sekaligus Singapura.. Barulah boleh membawa untung. Ini bermakna strategi pengedaran dan kandungan filem harus diluaskan ke pasaran yang lebih besar. Bukan buat filem untuk penonton Singapura sahaja. Ini hakikat industri filem hari ini yang sudah tidak boleh dinafikan.

Sebab itulah bila ada yang bertanya kenapa tidak menerbitkan filem Melayu Singapura, saya sering mengulas tentang keberuntungannya dahulu. Kerana jika filem pertama kita gagal memungut untung, bagaimana kita ingin terus berkarya?

Tetapi kita harus terus mencari jalan bagaimana kita boleh menghidupkan industri filem Melayu kita di sini.

Inilah yang harus diperhatikan penerbit bila ingin menceburi penerbitan filem (sekaligus perniagaan filem):

- sebelum mulakan rakaman, dapatkan persetujuan pengedaran dahulu dari pemilik-pemilik panggung. Filem yang baik tidak boleh memungut keuntungan jika tiada panggung yang menyokong. Bayangkan filem yang tidak begitu baik tetapi ada rangkaian panggung (atau pengedaran) yang luas. Ia tetap boleh mengutip tiket penjualan. Kalau boleh jangan diterbitkan dahulu tanpa perancangan pengedaran. Filem yang baik tetapi tidak ada pengedaran hanya akan mengumpul kerugian.

- dapatkan seberapa banyak penaja yang sanggup melabur untuk mengurangkan kos penerbitan. Saya pasti ramai penerbit sudah tahu hakikat ini tetapi tidak ramai yang tahu ia adalah kemahiran khusus yang tidak boleh dicampur-adukkan dengan tugas menerbitkan filem tersebut.  Tugas ini lebih baik diberikan kepada seorang atau syarikat yang mahir dengan bidang penajaan dan selok-belok aspek ini. Ia lebih baik lagi jika syarikat itu mempunyai rangkaian pelanggan yang luas. Kerana banyak perkara yang harus diambil kira untuk memancing penaja filem.

- laburkan masa dan tenaga untuk mencari rakan-kongsi sebuah syarikat penerbitan Malaysia kerana mereka boleh membawa filem anda ke sana untuk edaran lebih luas. Lebih baik lagi jika filem ini disasarkan untuk tontonan filem kededua penonton Malaysia & Singapura agar peluang keberuntungannya tinggi. Bayangkan jika anda dapat bekerjasama dengan syarikat Malaysia dan mendapat status 'wajib tayang'. Pasti berbaloi.

- jika anda tidak biasa dengan cara mendapatkan rangkaian dan edaran filem kerana anda seorang yang hanya menumpukan aspek karya dan kreatif filem anda, sudah tiba masanya anda bekerjasama dengan syarikat yang boleh menjana rangkaian perniagaan filem yang baik. Jangan buat filem seorang diri.

Ini pula saranan saya buat pemerintah untuk membantu meningkatkan filem Melayu di Singapura:

- Adakan polisi 'wajib tayang' secepat mungkin di Singapura. Kerana jumlah panggung yang sudi menayangkan filem Melayu di Singapura boleh dikira dengan jari. Kita perlukan bantuan ini untuk memajukan filem Melayu di sini.

- Bantuan dana yang diberikan kepada penerbit baru harus juga disertakan dengan bantuan untuk memadankan penerbit dengan syarikat pengedaran. Kerana kebanyakan penerbit di Singapura tergolong daripada individu-individu kreatif. Dengan memadankan mereka dengan syarikat pengedaran, aspek perniagaan filem itu akan terjaga. (Kita mesti ingat di zaman P. Ramlee, kita ada syarikat seperti Shaw dan Cathay yang merupakan PELABUR sekaligus PENGEDAR filem-filem lama. Tanpa edaran, keberuntungan filem menjadi lemah.)

- Memberi insentif kepada syarikat pemasaran yang boleh membantu syarikat penerbitan dalam pencarian penaja dan sokongan penonton.

- Memberi insentif kepada bank-bank Singapura untuk memberikan pinjaman khusus untuk penerbitan filem. Pinjaman sebegini sudah matang dilakukan antara bank-bank di Malaysia. Dalam jangka masa panjang, penerbit harus ambil risiko bersama dalam menerbitkan filem.

- meningkatkan peratusan "Singapore Spend" kepada 60% dalam projek penerbitan bersama dengan syarikat Malaysia. Sekarang ini peratusannya hanyalah 40%.

Dengan ulasan yang ringkas ini, perlukah kita cuba hidupkan filem Melayu Singapura? Ya, kita mesti terus mencuba.

Tetapi usaha ini tidak boleh berjaya tanpa perancangan teliti dari pihak penerbit dan bantuan Penguasa Pembangunan Media Singapura. Yang lebih penting lagi adalah sokongan penonton-penonton filem Singapura yang boleh mengubah nasib filem Melayu Singapura sendiri.

Saya sangat mengharap kita tidak menyokong usaha cetak-rompak yang boleh merosakkan industri filem, sama seperti yang sudah berlaku di wadah DVD.

InsyaAllah, kita boleh hidupkan ia semula. :)