Semasa saya di KL ada rakan di sana yang menyentuh tentang bagaimana mereka dilupakan kacang-kacang mereka.
Saya pasti ramai juga yang sudah mengalaminya. Kacang yang lama dididik, dipimpin dan dibantu lalu tidak ingat asal usul dan lupa mengucapkan terimakasih kepada si kulit yang sudah lama berjasa. Kacang lupakan mentor, kacang lupakan saudara, kacang lupakan banyak lagi kulit-kulit di luar sana. Senang cakap, ramai kulit-kulit rasa bagaikan terbuang begitu saja.
Pesanan kepada sang kacang: harus selalu beringat kalau kulit dah banyak membantu, jangan tinggalkan dia begitu atau lupa jasanya yang lalu. Kerana banyak lagi yang boleh dipelajari. Seringlah berterimakasih dan bersilaturahmi. Kerana mesti ingat, di luar sana sememangnya dah terang, kacang yang tidak berkulit mudah dimakan orang.
Pesanan kepada sang kulit: tidak rugi kacang lupakan kulit. Kerana tugas anda sudah selesai bila mereka berdikari. Manfaatnya sudah tercatat dan ganjarannya bakal ditemui. Ilmu dan amal sang kulit akan sentiasa bertambah - langsung tidak kurang sedikit pun walau disimbah. Kerana, mesti ingat, di luar sana sememangnya sudah terang, walaupun kulit mudah dibuang, kulit sukar dimakan orang.