Saya cukup teruja dengan acara Safinah Talks semalam. Banyak yang saya pelajari. Terimakasih saya ucapkan kepada Ustaz Tarmizi & Ustaz Fizar kerana mengundang kami.
Saya sertakan di sini rangkuman dan sedutan apa yang telah dibentangkan semua panelis:
1. Kejayaan sentiasa dalam pembinaan. Banyak perhentiannya dan banyak juga cabarannya di antara setiap perhentian.
2. Perjalanan menuju kejayaan mungkin berbeza, tetapi kita semua berkhidmat dengan Yang Esa.
3. Setiap kali menghadapi cabaran (atau masalah) sedang kita mencari kejayaan, kita harus mengkaji semula segala perhubungan kita.
Hubungan kita dengan Allah: Bagaimana solat kita dengan Allah? Adakah kita lebih meminta atau berterimakasih.
Hubungan kita dengan Ibu Bapa: Sudahkah kita memberi mereka yang terbaik? Sudahkah kita meminta restu mereka dalam segala apa yang kita ingin lakukan?
Hubungan kita dengan pasangan kita: Adakah kita berterus-terang dengan mereka? Masalah kita menjadi ringan bila kita terbuka dan berbincang selalu dengan pasangan kita.
Hubungan kita dengan anak-anak: Sudahkah kita mendengar setiap perbualan mereka lebih-lebih lagi apa yang mereka tidak luahkan?
Hubungan kita dengan orang lain: Adakah kita ikhlas dengan orang-orang di sekeliling kita?
Bila hubungan kita terjaga, Barakah dan kejayaan sebenar akan tiba.
4. Jangan hanya merancang untuk mencapai kejayaan. Sertakan solat dengan rancangan kita. In shaa Allah anda akan dipimpin.
5. Antara ciri-ciri orang berjaya ada di senaraikan dalam Surah A-Mukminoon (Ayat 1 - 5):
قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ
Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman,
الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ
Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya;
وَالَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ
Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia;
وَالَّذِينَ هُمْ لِلزَّكَاةِ فَاعِلُونَ
Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu);
وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ
Dan mereka yang menjaga kehormatannya;
6. Istiqomah (consistency) dalam segala usaha, mahupun kecil, akan menimbulkan sesuatu yang besar kelak.
7. Lakukan tugas kita melebihi gaji yang kita terima. Ini saya akui banyak barakahnya. Tidak rugi kita ikhlas melebihkan sumbangan keringat kita.
Saya doakan anda sentiasa menerima kejayaan yang anda inginkan. Aameen