20 tahun berniaga

Syarikat saya ScreenBox menyambut ulangtahun ke 20 Januari ini.

Inilah gambar yang saya ambil semasa baru-baru mula niaga. Saya mula niaga sekitar usia saya 30 tahun dan waktu itu saya belum faham bahawa usahawan mesti:

1. Bergantung sepenuhnya kepada Tali Allah. Kerana dalam perniagaan ada naik-turunnya dan putaran ini memerlukan ketahanan perut dan hati yang kuat serta sabar menantikan hari-hari senang.


2. Glamour perniagaan bukan pada kesenangan mendapat harta-benda yang kita boleh raih daripada keuntungan tetapi pada kesenangan melihat pekerja-pekerja yang boleh sama-sama mencari rezeki dalam satu syarikat.


3. Kita akan kenal pada siapa benar-benar boleh tolong kita.


4. Mesti menjalin hubungan dengan pelanggan yang kita tidak kenal sebelum ini. Hampir semuanya, jika sudah lama diberikan khidmat, boleh menjadi kenalan yang sangat membantu pada saat-saat kita susah.


5. Pekerja-pekerja kita juga ada impian tinggi untuk diri mereka dan keluarga. Jadi jika mereka tidak dapat mencapai impian mereka di tempat kerja, kita harus rela melepaskan mereka agar mereka dapat membangunkan impian seterusnya di tempat lain.

IMG_4289.jpg


6. Membayar Zakat niaga - itulah segalanya. Kita boleh membela masyarakat kita dengan berzakat.


7. Setiap ujian niaga itu sebenarnya cara Allah mendidik kita dalam perniagaan. Setelah ujian itu dapat diatasi dalam keadaan sabar dan sedar, perniagaan dan darjat kita akan dipertingkatkan, In shaa Allah. Bila sedang di dalam ujian, jangan sesekali tergelincir untuk mengambil jalan mudah, atau jalan serong, untuk menyelesaikannya. Itu akan membuat kita jatuh ke dalam keadaan yang lebih teruk dan boleh menggoda kita untuk mencuba cara yang salah di sisi undang-undang dan agama.


8. Berkhidmat kepada pelanggan lebih daripada ikhlas kerana menerusi mereka, rezeki kita berkembang. Jadi jagalah setiap saluran rezeki kita dengan baik.


9. Bersedia untuk mengubah haluan syarikat bila perlu. Jangan terlalu terikat dengan perkara yang sudah tidak lagi relevan untuk masa depan. Beranilah mengubah haluan - masa depan memerlukan keberanian kita hari ini.


10. Terima wadah baru untuk memasarkan syarikat kita. Siapa sangka media sosial menjadi jentera dan penggerak kepada kegiatan utama hampir ke semua syarikat di dunia hari ini.

Inilah antara yang saya perhatikan. Ada banyak lagi yang perlu saya pelajari untuk mengharungi dekad akan datang.

Kongsilah kepada usahawan baru yang berusia 30an yang memerlukan kata-kata semangat.

Semoga Allah memberkati segala usaha kita mengejar kebahagiaan. 🤲